'Gajah kerap muncul di kawasan rumah'
GUA MUSANG - Kehadiran seekor gajah liar menimbulkan kegusaran kepada lebih 100 penduduk di Kampung Lebur Jaya, di sini apabila haiwan liar itu semakin kerap muncul di kawasan perkampungan mereka sejak dua minggu lepas.
Seorang penduduk, Anuar Mustapha, 47, berkata, mamalia tersebut dipercayai masuk ke kampung pada lewat petang setiap hari, malah ada kalanya dua kali pada hari yang sama.
"Khamis lepas ketika saya sedang mengopek kelapa, gajah tersebut meluru ke arah saya dari arah hutan dan berlegar-legar hampir 30 minit di kawasan rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.
Bagi, Norhayati Ibrahim, 47, pengalaman pertama kali menyaksikan gajah liar di depan mata cukup menggerunkannya.
"Semasa membuka pintu dapur untuk membuang sampah di belakang rumah, saya terkejut melihat seekor gajah berada di kawasan itu. Saya segera memaklumkan kepada orang kampung untuk menghalaunya masuk semula ke hutan," katanya.
Ibrahim Hassan, 71, pula berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan sewajarnya kerana bimbang gajah liar itu akan mengancam keselamatan dan nyawa penduduk setempat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!