Dua anggota Maritim direman disyaki terima suapan bulanan
Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas ketiga-tiga suspek berusia 40-an itu dibenarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.
Menurut sumber SPRM, dua anggota penguat kuasa Maritim Malaysia itu dipercayai menerima suapan bulanan daripada pengusaha bot nelayan sejak dua hingga tiga tahun lepas, manakala nelayan warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat sebagai proksi.
Beliau berkata, wang suapan tersebut diberikan oleh beberapa pengusaha bot sekitar negeri ini sebagai dorongan mengelak bot mereka diperiksa anggota penguat kuasa Maritim ketika melakukan aktiviti sekitar perairan Kuala Perlis.
Katanya, ketiga-tiga suspek hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis pada 4 petang semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pengarah SPRM Perlis, Suzeliyana Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membanteras kegiatan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!