'Hampir setiap masa Raisya nangis tahan sakit'
KUALA NERUS - "Doktor cakap umur Raisya dah tak lama. Mungkin bila-bila masa sahaja dia akan pergi. Saya hanya mampu doakan yang terbaik untuk dia," luah Roslinda Harun, 31.
Ibu kepada kanak-kanak itu berkata, tahap kesihatan anak sulungnya, Nik Raisya Aulia Nik Rashimie Bukhari, 5, yang menghidap kanser saraf tahap empat sejak tiga tahun lalu kini semakin merosot.
Katanya, kanser yang dialami Raisya kembali menyerang pada Ogos tahun lalu apabila dia tersebut sering mengadu sakit pada bahagian perut.
"Perubahan ketara berlaku pada Raisya. Hampir setiap masa dia menangis menahan kesakitan. Kali ketiga ke hospital doktor sahkan terdapat ketumbuhan baharu dalam perutnya.
"Raisya sebenarnya telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut pada 7 April 2021 dan doktor beritahu kuman kanser mungkin menyerang kembali.
"Tak sangka pula sekejap sahaja dia mampu bertahan dan kini keadaannya semakin teruk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Dia berkata, ketumbuhan dalam perut Raisya kini semakin membesar sehingga mengganggu organ lain.
"Terdapat juga ketumbuhan lain pada bahagian mata menyebabkan ia semakin membengkak.
"Selain itu Raisya juga mengalami ketumbuhan di dalam kepala dan dada. Kedua-dua kakinya juga bengkak," katanya.
Menurut Roslinda, sebelum ini anaknya itu telah menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama enam bulan ketika usianya memasuki tiga tahun.
Namun katanya, rawatan itu hanya mampu membuatkan Raisya bertahan sementara daripada penyakit yang dialami kerana sel kanser yang menyerang adalah agresif dan masih terdapat saki baki yang berisiko kembali aktif.
Roslinda memberitahu, Januari lalu adalah temu janji terakhir Raisya kerana penyakit anaknya itu sudah tidak dapat dirawat.
"Doktor cakap selepas ini Raisya sudah tiada lagi temu janji kerana tiada rawatan dan ubat yang boleh menyelamatkan nyawanya. Ubat yang ada dibekalkan hanya berupaya untuk kurangkan kesakitan
"Berat badan Raisya kian menyusut dan dia juga sudah tidak banyak bercakap sejak penyakit itu kembali menyerang," katanya yang tinggal di Kampung Serdang Baru, Bukit Tungga, di sini.
Menurut Roslinda, dia berasa sayu kerana keletah dan senda gurau Raisya bersama dua adiknya, Nik Rabbani Amsyar, 4, dan Nik Rania Amiera, 2 ,sudah tiada dan mungkin hanya tinggal kenangan.
Roslinda tidak bekerja manakala suaminya, Nik Rashimie Bukhari Nik Mazlan, 28,bekerja sebagai pemandu lori.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu kini menunggu masa bersalin anak keempat pada pertengahan Februari ini.
Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Roslinda di talian 019-3330896 atau 011-21916318 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Roslinda Harun (1110329000135919).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!