Dermasiswa Maybank tampung keperluan pelajar kurang mampu
KUALA NERUS - Program dermasiswa hasil sumbangan Malayan Banking Bhd (Maybank) membantu menampung keperluan pelajar khususnya daripada golongan keluarga yang kurang berkemampuan.
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Fadzli Adam berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, seramai 25 pelajar universiti itu menerima bantuan berjumlah RM150,000 yang disampaikan di Kampus Gong Badak.
Beliau berkata, setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM6,000 meliputi yuran pengajian, yuran kolej kediaman dan sara hidup selama dua semester.
"Sumbangan itu disalurkan bagi menyantuni pelajar asnaf fakir, asnaf miskin, anak yatim piatu, keluarga B40 dan keluarga bermasalah yang tidak mampu menanggung kos pengajian dan sara hidup di universiti.
“Pelajar yang menerima dermasiswa ini akan dipantau oleh pihak UniSZA dengan menyediakan program pembangunan akademik dan sahsiah supaya graduan yang dilahirkan seimbang dan holistik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Dermasiswa Maybank@UniSZA pada Khamis.
Hadir sama, Bendahari UniSZA, Suhaili Mohd; Pengarah Kampus Besut, Profesor Dr Mohd Nordin Abdul Rahman; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Muzafar Mohd Din; Pengarah Maybank Pantai Timur, Ahmad Farid Qoureshmi Md Daud dan Ketua Perbankan Peruncitan, Mat Zamri Hassan.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Antarabangsa, Amir Farhan Nordin, 22, berkata, sumbangan itu membantu menampung keperluannya sepanjang pengajian di universiti itu.
“Saya bersyukur dan gembira atas sumbangan yang diberikan ini dan jutaan terima kasih pada Maybank dan UniSZA.
"Saya akan memanfaatkan dengan sebaiknya sumbangan yang diterima ini sepanjang tempoh pengajian, ” katanya.
Seorang lagi pelajar, Nur Irdina Nakifla, 21, berkata, sumbangan itu dapat membantu pelajar kurang berkemampuan bagi menampung keperluan dan sara hidup di kampus.
“Saya berasal dari keluarga yang susah, ayah saya hanya seorang nelayan. Dengan dermasiswa ini, saya dapat gunakan dengan sebaiknya sepanjang pengajian di UniSZA,” katanya yang mengambil jurusan Komunikasi Bahasa Inggeris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!