Jun atau Julai sesuai adakan PRN
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang kekal dengan pandangan Jun atau Julai ini adalah waktu yang paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, belum ada sebarang perbincangan rasmi berhubung tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, namun tidak menolak kemungkinan akan membuat pembubaran DUN pada hujung Mei depan.
Menurutnya, secara lazimnya tarikh lengkap penggal DUN di setiap negeri berbeza, namun jika dilihat dari sudut politik dan pilihan raya tempoh genap lima tahun pentadbiran negara adalah pada 8 Mei ini.
"Kalau dibubarkan akhir Mei, semestinya pilihan raya perlu diadakan pada Jun atau selewat lewatnya Julai.
"Jadi betul lah apa yang dikatakan oleh menteri-menteri besar sebelum ini mungkin Jun atau Julai adalah paling sesuai untuk seragamkan semua negeri," katanya ketika sidang akhbar di sini, pada Jumaat.
Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, sebelum ini perbincangan mengenai tarikh pembubaran DUN ada dibincangkan sewaktu pertemuan Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri di Putrajaya dan Mesyuarat Majlis Raja- Raja di Istana Negara Januari lepas.
Jelasnya, perbincangan lanjut berhubung perkara itu mungkin akan diadakan sekali lagi dalam tempoh terdekat sebelum sebarang keputusan di capai.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan pada 1 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bagaimanapun Naib Presiden PKR itu berkata, cadangan berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan bahawa DUN Kedah akan dibubarkan selepas pertengahan Jun.
Beliau berkata, tempoh itu dikira sesuai selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh ibadah haji serta sambutan Aidiladha.
Selain Negeri Sembilan dan Kedah, empat lagi negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!