[VIDEO] PM datang PD makan rojak sebelum solat Jumaat
PORT DICKSON - Buat pertama kali selepas bergelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Parlimen Port Dickson 'kembali' ke kawasan pelancongan itu pada Jumaat.
Beliau meluangkan masa singgah menjamu selera di Kedai Makanan dan Minuman Salleh Abdullah di Batu 3, Jalan Pantai Port Dickson di sini sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Bagan Pinang.
Beliau yang memakai baju Melayu berwarna biru tiba jam 12.50 pagi ditemani Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga berbaju Melayu berwarna sedondon.
Anwar berkata, beliau gembira dapat datang semula ke Port Dickson berjumpa dengan masyarakat di daerah itu yang memberi kerjasama baik sepanjang dirinya bergelar Ahli Parlimen Port Dickson.
"Oleh kerana saya kenal dengan masyarakat Port Dickson, pegawai-pegawai dan pimpinan politik serta tentera dan polis... jadi saya rasa perlu datang sekali ke sini sebagai tanda terima kasih.
"Saya gembira dapat jumpa kawan-kawan lama, makan di warung lama. Saya pilih warung ini kerana pasembur dia sedap," katanya.
Menurut pengusaha kedai, Azwan Azmi Ng, 34, dia hanya diberitahu secara rasmi mengenai kehadiran pemimpin nombor satu negara itu pada petang Khamis.
"Saya tidaklah buat apa-apa persiapan. Tapi memang terkejutlah kerana dalam banyak-banyak kedai di Port Dickson ini, kedai kami yang jadi pilihannya," katanya kepada media pada Jumaat.
Ujarnya, bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu pernah datang untuk berkempen di situ pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada tahun 2018, tetapi tidak berkesempatan menjamu selera.
Bagaimanapun katanya, kehadiran Anwar kali ini ketika dirinya bergelar Perdana Menteri sesuatu yang sangat mengujakan.
"Ini pertama kali orang ternama dan Perdana Menteri datang ke kedai kami. Tak tahu nak gambarkan perasaan saya macam mana, tapi teruja dan terkejut.
"Perdana Menteri sangat mesra orangnya dan menu yang menjadi permintaannya ialah rojak dan nasi goreng cina" katanya.
Sementara itu katanya, kedai terbabit mula beroperasi pada tahun 1970 yang diusahakan oleh arwah datuknya Salleh Abdullah sebelum diteruskan oleh bapa dan kini diwarisinya.
Tambahnya, rojak merupakan menu utama di kedai itu yang dibuka pada jam 7.30 pagi hingga 5 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!