Menu Rahmah: Untung sikit, tapi niat berkongsi

Pekerja Noor Salina menunjukkan dua Menu Rahmah iaitu ayam goreng kunyit dan ayam paprik yang ditawarkan kepada pelanggan di gerainya di Cenderawasih. (gambar kecil dari kiri : Noor Salina ,Kamaluddin dan Halijah)
Pekerja Noor Salina menunjukkan dua Menu Rahmah iaitu ayam goreng kunyit dan ayam paprik yang ditawarkan kepada pelanggan di gerainya di Cenderawasih. (gambar kecil dari kiri : Noor Salina ,Kamaluddin dan Halijah)
A
A
A

KUANTAN - Niat berkongsi rezeki antara faktor utama seorang peniaga makanan di Cenderawasih memilih untuk turut serta menyediakan Menu Rahmah di gerai miliknya.

Pemilik kedai Aboh Burn Corner, Noor Salina Samsudin, 56, berkata, inisiatif itu disambut baik selepas hidangan mampu milik itu mula diperkenalkan kerajaan pada Selasa lalu.

Menurutnya, walaupun keuntungan yang diperoleh sedikit namun ia dianggap sebagai satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Kalau kita dah biasa buat masakan panas dengan keadaan sekarang barang mahal tak ada untung, jika RM100 kita beli barang sehari.

"Tidak balik pun RM100 itu, tapi ini bila dah buat menu ini adalah sikit untung, sebab kita tidak beli barang banyak. Jadi ada untung dan orang tetap datang makan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Noor Salina memberitahu Menu Rahmah di premisnya akan ditukar setiap hari bagi memberikan pilihan kepada pelanggan yang datang.

Malah, sejak ia diperkenalkan empat hari lalu, perniagaannya mendapat sambutan dengan lebih 150 set Menu Rahmah terjual setiap hari.

"Kita bukan sahaja terima pelanggan dari kawasan Cenderawasih tetapi di luar kawasan ini juga ada membuat pesanan secara dalam talian.

"Jadi, rezeki itu bertambah bila jual makanan pada harga sebegini dan pelanggan pula semakin ramai," katanya yang lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan makanan.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia juga sedang berusaha menyediakan set makanan berasaskan makanan laut untuk menambah kepelbagaian Menu Rahmah di premisnya.

Jelasnya, pada ketika ini, perbincangan dengan pembekal sudah dilakukan bagi menentukan harga sesuai.

"Jika pembekal setuju, saya boleh mulakan menu berasaskan makanan laut dalam masa terdekat," ujarnya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Kamaluddin Ahad, 65, berkata, program Menu Rahmah sewajarnya mendapat sokongan bagi memberi manfaat kepada semua pihak.

Jelasnya, program Menu Rahmah ini juga dilihat dapat meningkatkan ekonomi semua pihak terutamanya peniaga.

"Pengguna juga mendapat faedah apabila harga makanan hanya RM5 dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menghimpit semua," katanya yang merupakan seorang pesara.

Bagi penjawat awam, Halijah Muni, 57, mengakui hidangan yang disediakan peniaga sangat berbaloi.

"Pada harga RM5, kira dapat makan nasi, lauk dan sayur termasuk air secara percuma, sememangnya ini sangat memadai," katanya ringkas.

Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan 31 Januari lalu merupakan satu set makanan yang lengkap dengan harga berpatutan terutama kepada golongan B40.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!