Bekas penyelia dipenjara, denda palsu tandatangan peneroka

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas dihukum penjara enam bulan serta denda RM8,000 setelah mengaku bersalah memalsukan tandatangan penerima bayaran tunai libatkan peneroka sebuah tanah rancangan Felda di Bera kira-kira tiga tahun lalu.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas dihukum penjara enam bulan serta denda RM8,000 setelah mengaku bersalah memalsukan tandatangan penerima bayaran tunai libatkan peneroka sebuah tanah rancangan Felda di Bera kira-kira tiga tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Bekas benyelia sebuah tanah rancangan Felda di Bera dihukum penjara enam bulan dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas tuduhan mengemukakan dokumen dengan memalsukan tandatangan peneroka bagi penerimaan bayaran tunai kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Aizat Ziadi, 34, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif, tertuduh yang berkhidmat sebagai penyelia tanah rancangan Felda itu sejak 2014 itu dilantik pihak pengurusan sebagai pegawai pembayar wang hasil peneroka di kawasan itu dengan kaedah pembayaran secara tunai dan terus ke dalam akaun bank peneroka terlibat.

Bagi pembayaran secara tunai, tertuduh bertanggungjawab untuk mengagihkan wang itu dan penerima bayaran perlu tandatangan senarai akuan penerimaan sebelum diserahkan kepada pihak pengurus.

Pada 29 Disember 2020, pihak Ibu Pejabat Felda menerima aduan mengenai bayaran gaji peneroka Felda itu yang tidak diterima sejak Oktober dan hasil siasatan dalaman mendapati terdapat keraguan terhadap penjelasan tertuduh berkaitan penyerahan bayaran tersebut.

Siasatan yang turut dijalankan pihak SPRM mendapati tertuduh telah memalsukan sebahagian tandatangan peneroka dalam senarai akuan penerimaan bayaran bagi November 2020 berjumlah RM89,520 dan RM61,273 untuk Disember.

Tertuduh yang menggunakan bayaran gaji peneroka itu untuk pelaburan Forex telah ditahan pada April 2021 dan hasil siasatan mendapati tertuduh telah membuat suatu dokumen palsu dan secara tidak jujur menandatangani tandatangan peneroka terlibat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 464(a) yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam, Mazura Ismail yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan terhadap anak guamnya.

Menurutnya, tertuduh kini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan kira-kira RM40 sehari untuk menyara diri dan kedua ibu bapanya.

"Kes ini kesalahan pertama tertuduh dan dia telah sedar serta insaf dengan perbuatannya malah sebahagian wang peneroka yang diambil telah dibayar balik.

"Anak guam saya akan berusaha untuk membayar balik semua wang tersebut," katanya.

Tambah beliau, ekoran kesalahan itu, tertuduh bukan sahaja kehilangan kerja malah terpaksa berpisah dengan isterinya.

Hukuman penjara dan denda terhadap tertuduh diputuskan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!