Mahkamah benar notis panggil pihak ketiga tuntut harta bapa Jho Low
KUALA LUMPUR - Pihak ketiga atau yang berkepentingan dalam akaun bank berjumlah jutaan ringgit milik bapa kepada ahli perniagaan dikehendaki Low Thaek Jho atau Jho Low yang dibekukan boleh tampil mengemukakan tuntutan pada Julai depan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan notis bagi memanggil pihak ketiga yang berkepentingan menuntut wang hampir RM50 juta dalam akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng.
Dalam satu prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mewartakan notis itu terhadap akaun Hock Peng sebelum memutuskan permohonan pendakwaan bagi melucut hak.
Sehubungan itu mahkamah menetapkan 19 Julai ini bagi pendengaran tuntutan pihak berkepentingan itu sebelum melucutkan hak wang tersebut
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah memberitahu mahkamah bahawa kerajaan sudah memfailkan notis usul bagi melucut hak harta itu dan memohon supaya ia diwartakan.
Menurutnya, dokumen itu sudah diserahkan kepada Jho Low melalui permohonan yang difailkan bulan lalu.
“Ya Arif, responden (Jho Low) masih gagal dikesan seperti diikrarkan oleh Pegawai Penyiasat Superintendan Foo Wei Min dalam afidavit pendakwaan. Dia (Jho Low) tiada di negara ini dan sudah ada pendakwaan dibuat terhadapnya.
“Waran tangkap sudah dikeluarkan dan kami ada meminta bantuan daripada Interpol.
"Bagaimanapun masih gagal untuk menemui Jho Low. Oleh itu kami mengemukakan permohonan ini,” katanya.
Pada 29 Mac lalu kerajaan selaku pemohon memfailkan notis usul dan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik Larry dikatakan bernilai RM48 juta.
Berdasarkan peruntukan itu mahkamah akan memanggil pihak ketiga atau yang berkepentingan terhadap wang dalam akaun milik responden untuk hadir ke mahkamah.
Pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak harta itu dengan alasan baki wang akaun itu berpunca daripada perolehan salah melalui syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!