Wujud kawasan khas pamer budaya warisan Dunia Melayu di KL

Rais
Rais
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diharap dapat mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi mewujudkan komponen Dunia Melayu yang mengandungi segala aspek kehidupan yang mencerminkan seni budaya dan warisan Melayu.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ini kerana di Kuala Lumpur sudah ada Little India di Brickfields dan China Town di Jalan Petaling.

Menurutnya, tiada satu pun kawasan khusus yang memaparkan budaya dan seni warisan Dunia Melayu untuk tatapan para pengunjung di Kuala Lumpur.

“Saya percaya DBKL mampu merealisasikan hasrat tersebut untuk menaikkan taraf Bandaraya Kuala Lumpur yang akan menjadi tarikan utama pengunjung dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dicadangkan semasa menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mahadi Che Ngah di Parlimen pada Jumaat.

Turut hadir pada pertemuan khas itu ialah Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Sr Haji Kamarulzaman Mat Salleh, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Ismadi Sakirin dan Khairul Azlan Yusuf-

Dalam perbincangan khas itu juga, Rais yang berpengalaman luas dalam bidang seni dan budaya warisan mencadangkan agar cadangan projek Dunia Melayu ini diambil perhatian khusus.

“Dunia Melayu yang mengandungi seni dan warisan seharusnya dapat dinikmati oleh para pengunjung yang datang ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Menurutnya, sehingga kini tiada satu pun susunan budaya yang boleh menarik perhatian pengunjung luar dan dalam negara yang komprehensif mengandungi seni, cara hidup budaya tinggi, pertukangan tangan, muzik, seni teater dan makanan warisan Melayu (Malay Cuisine).

Justeru beliau berharap DBKL bersama NGO dapat memajukan sudut kegiatan seni budaya sekali seminggu di Jalan Tuanku Abdul Rahman serta menggalakkan persembahan teater yang boleh dikunjungi warga seni budaya.

“Ketiadaan restoran kelas tinggi yang menyajikan juadah Melayu harus diberi perhatian serius agar masakan tempatan tidak ketinggalan”, katanya.

Tambahnya lagi, dasar menutup lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada setiap Ahad amat dihargai dan harus berterusan demi mewujudkan suasana riadah di bandar utama negara sama seperti di Taman Ismail Marzuki (TIM) di Jalan Cikini Raya 73, Jakarta, Taman Convent di London dan Champs-Élysées di Paris.

Rais berkata, Yayasan Budi yang diasaskan olehnya juga akan cuba mengikhtiarkan beberapa kemudahan dan kandungan kegiatan budaya pada setiap hujung minggu seperti pameran seni budaya, pemuzik jalanan, pertunjukan seni budaya dan makanan warisan Melayu untuk dipertontonkan seterusnya dinikmati pengunjung serta warga Kuala Lumpur.

“Semoga usaha ini dapat direalisasikan dan mampu menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama untuk menyelami Dunia Melayu yang tidak akan hilang ditelan zaman,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!