Lesen tidak diperbaharui jika tandas gagal capai sijil A

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengusaha industri makanan dan minuman (F&B) di pusat bandar raya yang gagal mencapai tahap kebersihan sijil A bagi tandas tidak akan diperbaharui lesen perniagaan, mulai tahun depan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, ia merupakan dasar baharu yang dipersetujui oleh kabinet.

"Premis F&B iaitu restoran, warung kopi, kedai mamak dan sebagainya wajib mendapatkan sijil A kebersihan tandas," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Muhibah sempena Tahun Baru Cina 2023 pada Jumaat.

Menurutnya, dasar itu turut akan diperluaskan ke 18,000 tandas awam di bawah majlis perbandaran dan daerah dalam tempoh tiga tahun.

"Kita mahu mereka pastikan tandas bersih dan wangi selaras dengan prinsip KPKT bertaraf BMW iaitu bersih, menawan dan wangi," jelasnya.

Ujar Kor Ming, satu libat urus akan diadakan bersama pengusaha, persatuan, penjaja F&B bagi tujuan itu.

"Kita tidak mahu lagi tandas yang berbau busuk atau kurang menyenangkan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!