Belanjawan 2023 dijangka berasaskan keadaan semasa ekonomi
KUALA LUMPUR - Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan semula pada 24 Februari ini dijangka berasaskan kepada keadaan semasa ekonomi domestik dan juga global.
Ahli ekonomi utama Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, ekonomi global dan domestik telah berubah dengan ketara berbanding ketika belanjawan terakhir dibentangkan pada Oktober tahun lepas, antara lainnya dari segi landskap inflasi global dan Malaysia.
"Disebabkan perubahan itu, kita akan mempunyai lebih banyak analisis dan langkah-langkah dasar terkini. Belanjawan akan datang ini juga dijangka terus menyokong dan bersandarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya pada taklimat media mengenai laporan terbaharu 'Malaysia Economic Monitor' Bank Dunia bertajuk ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ (Memperluas Sempadan Digital Malaysia), hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga dijangka menambah peruntukan bagi usaha pendigitalan terutamanya dari segi insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Walaupun perniagaan berada dalam trend pemulihan (pada masa ini), PKS tidak pulih sepantas syarikat yang lebih besar,” katanya.
Mengenai pengenalan asas sistem percukaian baharu, Apurva berkata, keperluan untuk memperkenalkan sistem baharu telah wujud sejak 10 tahun lepas, dengan menyatakan Malaysia sedikit sebanyak mendapat manfaat sebagai pengeksport komoditi apabila harga meningkat.
"Saya percaya kerajaan sedar akan keperluan mendesak ini,” katanya sambil menambah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sistem asas percukaian yang paling cekap dan bersih, kerana ia akan menjana hasil dengan cara terbaik selain memastikan kerajaan yang bersih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!