Belon pengintip berlegar-legar di AS undang resah
WASHINGTON - Pentagon mendakwa sedang menjejaki belon pengintip dipercayai milik China yang berlegar-legar di ruang udara Amerika Syarikat (AS) yang dikhuatiri akan memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
Jurucakapnya pada Khamis memaklumkan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin dan beberapa pegawai tertinggi tentera mempertimbangkan langkah menembak jatuh belon itu, namun tindakan itu dianggap membahayakan orang ramai.
"Jelas sekali, belon itu dihantar untuk tujuan mengintip," katanya lagi sambil menambah belon itu dilihat menghala ke barat laut Washington yang menempatkan pangkalan tentera 'sensitif' dan peluru berpandu nuklear strategik di silo bawah tanah.
Sementara itu, Kanada mengesahkan agensi perisikan mereka bekerjasama dengan AS untuk mengesan belon pengintip altitud tinggi tersebut dan ia juga sedang mengawasi potensi insiden kedua.
"Rakyat negara ini tidak perlu khuatir. Pemerintah telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan ruang udara negara ini selain melindungi maklumat sensitif kerajaan daripada ancaman risikan asing," ujar Jabatan Pertahanan dalam satu kenyataan.
Susulan tuduhan yang dilemparkan, China mengumumkan sedang berusaha mengesahkan maklumat tentang perkara itu dan turut memberi amaran terhadap tindakan yang sengaja 'menggembar-gemburkan' isu berkenaan.
"Usah buat sebarang andaian sehingga fakta jelas diperoleh. Tindakan menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Beijing adalah sebuah negara yang bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa.
"Kami tidak berniat untuk melanggar kedaulatan wilayah atau ruang udara mana-mana negara. Kami berharap kedua-dua belah pihak dapat menangani situasi itu dengan tenang dan bijak," kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!