Bersih harap kerajaan iktiraf kabinet bayangan

Kenyataan Bersih
Kenyataan Bersih
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diharapkan dapat mengiktiraf kabinet bayangan yang dibentuk oleh pembangkang daripada segi menggariskan fungsi, hak dan kemudahan kepada mereka dengan baik.

Menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), ia seperti pemberian elaun, peruntukan pegawai penyelidik dan juga kebenaran akses maklumat kementerian bagi tujuan semak dan imbang terhadap idea dan polisi yang dikemukakan kerajaan.

Jelas gabungan berkenaan, perkara tersebut penting bagi memperkasa Dewan rakyat dan demokrasi di Malaysia.

“Bersih berharap Anwar akan menyambut pembentukan kabinet bayangan ini dengan positif dan mengambil kesempatan ini untuk memperkukuhkan kestabilan politik, menghapuskan kebimbangan Langkah Sheraton 2.0 dan merealisasikan Malaysia Madani.

“Pada masa yang sama, Kabinet Bayangan Perikatan Nasional (PN) diharap akan membuat kunjungan hormat kepada kabinet sebelum Parlimen bersidang sebagai tanda permulaan persaingan antara parti yang madani,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasminya melancarkan kabinet berkenaan yang bertujuan melakukan semak imbang terhadap usaha kerajaan merangkumi dasar ekonomi, alam sekitar, antarabangsa, pertahanan dan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Bersih menambah, usaha tersebut diharapkan dapat meningkatkan mutu perbahasan antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika sidang Parlimen berlangsung.

“Persaingan yang profesional dan matang, bukan permusuhan seperti saling memperlekehkan antara kerajaan dan pembangkang diperlukan untuk mencapai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang diperjuangkan oleh Anwar dan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau dengan gagasan Malaysia Madani,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!