BN Selangor sedia runding PH agihan kerusi
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) sebaik selesai mengadakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi dengan komponen parti terdiri daripada MCA dan MIC peringkat negeri dalam waktu terdekat.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perjumpaan dengan PH itu akan dimuktamadkan selepas semua komponen BN bersetuju mengenai jumlah kerusi bakal ditandingi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan selewat-lewatnya.
"(Rundingan) kita serah kepada PH untuk memikirkan bagaimana kita boleh memulakan rundingan secara semangat Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Kumpulan Muara di sini pada Jumaat.
Megat Zulkarnain berkata, secara dasarnya UMNO Selangor telah mengenal pasti kerusi yang bakal ditandingi termasuk lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Angkanya (jumlah kerusi ditandingi UMNO) tak perlu kita maklum sekarang dan selepas ia dipersetujui, maka itu keputusan yang akan kita patuhi dan kita akan pastikan untuk tandingi dalam PRN Selangor," ujar beliau.
Bagaimanapun, jelas beliau, bayangan kerusi bakal ditandingi peringkat negeri itu sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Kita akui dalam PRU15, kita tak berjaya di peringkat Parlimen, tetapi masih mempunyai jumlah undi banyak terutama di kawasan majoriti Melayu," ujarnya.
Sebelum ini, PH Selangor sedia berbincang dengan BN dalam masa terdekat untuk membuat persiapan PRN.
Pengerusinya Datuk Seri Amirudin Shari mahu menyelesaikan perkara itu pada peringkat PH Selangor terlebih dahulu termasuk meneliti beberapa kemungkinan.
Armand Azha, Jamal antara nama bertanding pemilihan UMNO
UMNO Selangor mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah akan bertanding jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti itu pada Mac.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, selain Armand Azha nama lain di negeri Selangor juga akan bertanding di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Menurut, antara nama yang menyatakan hasrat untuk bertanding MKT ialah, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Ketua UMNO Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Rosni Sohar.
"KIta sudah maklumkan dalam Mesyuarat UMNO Selangor, jika ada mana-mana ahli UMNO ingin bertanding pada pemilihan parti boleh menyatakan hasrat kepada UMNO negeri untuk dibawa ke peringkat UMNO Pusat," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Kumpulan Muara di sini pada Jumaat.
Megat Zulkarnain memberitahu, pemilihan parti di peringkat negeri itu akan dipengerusikan Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Salamon Selamat dan jawatankuasanya.
"Jawatankuasa pemilihan parti ini akan memantau perjalanan proses pemilihan di peringkat negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!