Terpaksa keluarkan modal lebih tinggi
SUNGAI PETANI - Kenaikan harga sayur yang melampau di pasaran sejak kira-kira sebulan lalu bukan sahaja dirasai pengguna, malah turut membebankan golongan peniaga.
Rata-rata peniaga yang ditemui mengakui terbeban dengan kenaikan harga tersebut.
Peniaga, Rosli Ahmad, 55, berkata, situasi itu menyebabkan timbul rasa bimbang untuk meletakkan harga sayur kepada pelanggan.
“Harga terung sebelum ini RM8 satu kilogram (kg) tetapi naik sehingga RM12 sekilogram. Disebabkan kenaikan itu, kami tidak ambil (jual) sebab risau reaksi pelanggan bila tahu harga sebenar.
“Tomato sebelum ini RM4.50 sekilogram tetapi sekarang dah naik RM10 sekilogram.
“Kacang panjang dulu RM6 sekilogram tetapi sekarang RM8 sekilogram manakala kacang bendi masih sama RM10 sekilogram,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, kenaikan itu menyebabkan peniaga turut terasa kerana terpaksa mengeluarkan modal lebih tinggi berbanding sebelumnya.
“Kebiasaannya harga sayur akan turun lepas musim perayaan tetapi kalau dilihat situasi semasa, harga semakin melambung tinggi,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Abdul Muhaimin Akhbar Ali, 25, berkata, harga sayur naik mendadak berbanding sebelumnya kemungkinan disebabkan kekurangan bekalan ketika permintaan tinggi.
“Harga kacang dan bendi sebelum ini RM6.30 sekilogram tetapi naik kepada RM9.30 sekilogram, kacang panjang pula RM4.30 sekilogram naik kepada RM5 sekilogram, tomato sebelum ini RM6.30 sekilogram naik kepada RM9 sekilogram dan terung dari RM7 sekilogram naik kepada RM10 sekilogram,” katanya.
Sementara itu, di KELANTAN, peniaga sayur di Pasar Siti Khadijah, Sabariah Abdullah, 50, mengakui harga beberapa jenis sayur naik harga sejak kira-kira sebulan lalu.
Katanya, antara yang naik harga ialah terung dari RM7 sekilogram ke RM8 sekilogram manakala kacang panjang kini berharga RM11 sekilogram berbanding dulu RM10 sekilogram.
“Tomato dari Cameron Highlands kami jual RM10 sekilogram kerana harga yang dibeli juga mahal,” katanya.
Menurut Sabariah, faktor kenaikan harga berkenaan kerana kos penghantaran dan permintaan tinggi pelanggan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!