Restoran makanan segera disyor tawar Menu Rahmah
SHAH ALAM - Syarikat-syarikat besar seperti restoran makanan segera disyorkan mengambil bahagian dalam inisiatif menawarkan Menu Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bermula Selasa lalu.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, pengusaha restoran bagaimanapun perlu memastikan hidangan dalam menu itu berkualiti dan terjamin kebersihannya, bukan sekadar gimik politik.
“Mereka boleh perkenalkan menu khas atau guna menu sedia ada. Namun pemilik restoran perlulah menyediakan makanan sihat dan berkualiti untuk disajikan kepada rakyat khususnya yang kurang berkemampuan.
“Inisiatif Menu Rahmah sesuai dilaksanakan oleh restoran makanan segera kerana ia juga boleh bertindak sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh kedai makan terlibat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, dilaporkan lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan golongan berpendapatan rendah (B40) bermula 31 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Nur Asyikin berkata, pengusaha restoran dinasihatkan supaya mempunyai sifat empati dalam menyediakan makanan sihat dan berkualiti kepada rakyat yang kurang berkemampuan supaya kesihatan mereka sentiasa terjaga.
“Perlu diingat, tahap kesihatan kita bermula daripada makanan yang sihat.
“Kita tidak mahu mereka dibebankan pula dengan kos rawatan klinik atau hospital disebabkan mengambil makanan yang tidak sihat atau kurang bersih,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif Menu Rahmah juga seharusnya diperluas dengan lebih giat sama ada di kawasan bandar atau pedalaman di seluruh negara.
“Kalau kita lihat sebelum adanya Menu Rahmah ini memang terdapat sebilangan peniaga atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan makanan secara percuma atau menjual makanan dengan harga berpatutan, cuma belum diperluas ke seluruh negeri.
“Tetapi dengan adanya inisiatif sebegini, diharap pihak pembekal juga dapat menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing dengan memberikan harga borong berpatutan kepada peniaga yang berhasrat menawarkan menu ini,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!