Bomba digigit beruang matahari stabil
SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Anggota bomba bantuan yang cedera digigit beruang matahari di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah, Yan, pada Khamis dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan, Penolong Penguasa Bomba Noorhamidi Ali berkata, keadaan Mohd Nizam Hamid, 27, bertambah baik selepas menjalani pembedahan pada Jumaat.
"Keadaan mangsa beransur baik selepas menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan pada salur darah tangan kiri yang cedera," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, Mohd Nizam yang kini masih ditempatkan di wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, ditemani isterinya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Mohd Nizam cedera di tangan kiri selepas digigit beruang matahari ketika cuba mengepung haiwan terbabit.
Beruang matahari betina seberat 90 kilogram itu berjaya ditangkap selepas ditembak ubat pelali pada jam lebih kurang 1.21 tengah hari dan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), beruang matahari itu dipercayai tersesat dari habitat asal di Gunung Jerai kemungkinan dalam keadaan lapar atau terancam sehingga bertindak agresif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!