Kenaikan yuran tidak bebankan pelancong ke Sabah
KOTA KINABALU - Kenaikan yuran masuk ke semua produk di bawah seliaan Taman-Taman Sabah (TTS) sejak 1 Januari lalu dilihat tidak memberi kesan kepada pengunjung terutama pelancong asing ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pelancong yang datang sudah tentu mahu melihat keindahan alam semula jadi di negeri ini.
"Jangan kira kenaikan yuran daripada peratus, misalnya daripada RM5 meningkat kepada RM15, kenaikan hanya RM10.
"Pelancong yang datang mahu melihat alam semula jadi dan saya tidak fikir mereka kisah mengenai kenaikan RM10 untuk yuran kemasukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Tahun Baru Cina Persatuan Sumber Harapan Sabah di Dewan Hakka, Likas, pada malam Jumaat.
Hadir sama ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah, Josephine Hadikusumo.
Bagaimanapun, Christina berkata, kelonggaran diberikan kepada pelancong yang sudah membeli pakej pelancongan sebelum 1 Januari di mana mereka dibenarkan menggunakan caj yuran kemasukan lama.
"Bagi yuran kemasukan yang sudah dibeli melalui pakej pelancongan selepas 1 Januari, mereka perlu menggunakan caj baharu. Ini dilaksanakan selepas mempertimbangkan permintaan pemain industri pelancongan.
"Sementara itu, caj bagi kemasukan pelancong tempatan kita masih mencari jalan penyelesaian dan kita juga akan memberi kelonggaran sewajarnya," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan TTS bakal menaikkan yuran kemasukan di semua produk seliaan taman berkenaan.
Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial rungutan orang ramai mengenai kenaikan harga yuran masuk ke Taman Negara Kinabalu, yuran mendaki Gunung Kinabalu serta yuran masuk ke Kolam Air Panas Poring.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!