Pasukan mahal Chelsea gagal benam Fulham
CHELSEA gagal meraih kemenangan apabila diikat tanpa jaringan dengan Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge pada Sabtu.
Ramai pihak yang menantikan perlawanan tersebut dan mahu melihat sejauh mana kemampuan The Blues selepas berbelanja besar dalam jendela perpindahan Januari.
Enzo Fernandez membuat penampilan sulungnya untuk Chelsea selepas menjadi pemain termahal dalam bola sepak British dengan perpindahan bernilai 107 juta pound (RM549.3 juta) dari Benfica pada hari terakhir jendela perpindahan.
Perpindahan Fernandez menjadikan jumlah perbelanjaan Chelsea untuk membeli pemain sejak pengambilalihan oleh kumpulan pelaburan yang diketuai oleh Todd Boehly dan Clearlake Capital tahun lalu kepada lebih daripada £500 juta (RM2.6 bilion).
Mykhailo Mudryk turut berada dalam kesebelasan utama, manakala Noni Madueke dan David Datro Fofana masuk sebagai pemain gantian untuk penampilan sulung mereka di Liga Perdana Inggeris.
"Kami mempunyai ramai pemain baharu. Saya pasti masanya akan tiba dan kami akan mengenali permainan masing-masing secara lebih semula jadi," kata Madueke.
Dalam pada itu, kapten Fulham, Tim Ream mengakui gembira dapat mencuri mata di Stamford Bridge.
"Ia adalah permainan berpasukan. Kami berusaha setiap minggu. Kami bertahan dengan baik dan menyerang untuk memberikan masalah kepada Chelsea," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!