Imigresen terus gempur penempatan haram PATI
SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus menggempur penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius isu penempatan haram yang dibina oleh PATI ini kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah serta kesan negatif.
"Pihak imigresen mengambil maklum susulan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada awal pagi Rabu lalu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan.
"Operasi bagi menggempur PATI sentiasa dilaksanakan imigresen termasuklah kepada pemeriksaan terhadap warga asing pemegang Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Khairul Dzaimee berkata, tahun lalu, seramai 22,560 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pihaknya di seluruh negara atas pelbagai kesalahan.
Katanya, tangkapan tertinggi PATI tertinggi membabitkan warga Indonesia iaitu seramai 9,709 orang, diikuti Myanmar (3,627), Bangladesh (2,845), Thailand (1,494), India (1,462), Filipina (1,164), Pakistan (655), Nepal 437), Kemboja (367), Vietnam (342) dan bakinya adalah dari lain-lain negara.
"Selain itu, kita turut menahan seramai 343 majikan untuk siasatan melindungi dan menggajikan warga asing," ujarnya.
Katanya lagi, sepanjang tahun lalu juga, imigresen telah memeriksa seramai 5,561 pemegang kad UNHCR.
“Imigresen juga akan mengambil tindakan tegas ke atas pemegang kad UNHCR yang didapati bersalah dan melanggar apa jua undang-undang negara," jelasnya.
Tegas beliau, sebagai golongan yang diberi kebenaran untuk menetap sementara sebelum dihantar pulang atau ditempatkan di negara ketiga, mereka seharusnya menghormati perundangan negara dan masyarakat tempatan.
"Tindakan pengusiran akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah oleh mahkamah," katanya.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan operasi sepasukan JIM Negeri Sembilan di Nilai Spring, Negeri Sembilan telah menahan seramai 67 orang berumur di antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.
Hasil risikan dijalankan selama sebulan, penempatan ini telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!