Penantian lapan tahun miliki rumah sendiri berakhir
BATU PAHAT - Seorang bapa di Parit Yaani dekat sini sudah boleh menarik nafas lega selepas lebih 20 tahun menyewa rumah di sekitar daerah ini apabila kini memiliki kediaman sendiri untuk dia dan keluarganya berteduh.
Md Hizam Jamien, 40, bersyukur kerana penantian selama lapan tahun sebelum ini berakhir apabila menerima kunci selepas rumah yang dibina atas tanah miliknya di Kampung Parit Yaani Tengah siap.
"Saya menyewa rumah RM200 sebulan sebelum ini. Namun pada 2015 saya mula membuat permohonan membina rumah atas tanah milik saya menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bernilai RM75,000.
"Bagaimanapun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, pembinaan terhenti seketika tanpa dimaklumkan sebabnya sedangkan sudah 20 peratus siap membuatkan kami empat beranak mula menaruh kebimbangan.
"Namun selepas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih, kami mengemukakan semula proses pembinaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri," katanya kepada pemberita selepas menerima kunci rumah yang diserahkan Najib, pada Sabtu.
Bapa kepada dua anak dan bekerja sendiri itu berkata, berikutan aduan kepada Najib, proses pembinaan diteruskan semula dan akhirnya siap untuk diduduki pada Sabtu.
Nasib hampir serupa turut dialami pasangan Mohammed Fariz Asnawi, 42, dan isterinya Siti Luhainon Mohd Tahir, 45, yang tinggal di Kampung Parit Banyumas.
Dia berkata, selama 15 tahun menyewa rumah dengan harga RM150 sebulan membuatkan mereka tekad untuk memohon kemudahan disediakan kerajaan pada 2015.
"Dengan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar milik isteri, kami mencuba nasib dan amat berterima selepas diterima untuk pembangunan rumah bernilai RM75,000 ini.
"Penantian selama lapan tahun cukup menyiksakan bagi kami, malah hampir tidak dibina akibat daripada birokrasi pemaju pada 2018 hingga 2020 sebelum digerakan semula selepas itu," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, masih ramai lagi penduduk di sini yang ingin mengemukakan permohohan rumah sama.
Tambahnya, semua pemohon boleh menghantar borang permohohan ke pejabatnya di Parit Raja dekat sini lengkap dengan dokumen diperlukan untuk dimajukan kepada pihak SPNB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!