Belanjawan 2023: KUSKOP mohon tambahan peruntukan

Ewon menyumpit belon simbolik merasmikan program Sesi Sembang Santai Bersama Masyarakat Orang Asli di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Simpang Pulai pada Sabtu.
Ewon menyumpit belon simbolik merasmikan program Sesi Sembang Santai Bersama Masyarakat Orang Asli di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Simpang Pulai pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memohon tambahan peruntukan pembangunan bagi Belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan pada 24 Februari ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu adalah bagi membiayai beberapa cadangan baharu yang sesuai dengan agenda Malaysia Madani bagi memperkasakan perkhidmatan serta pembangunan usahawan.

Menurutnya, cadangan awal sebanyak RM666 juta telah dikemukakan bagi membiayai 185 inisiatif untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

"Memang ada tambahan yang kita cadangkan kepada Kementerian Kewangan. Antara program baharu adalah pembangunan perusahaan sosial, program pembangunan penjaja dan peniaga kecil serta program usahawan siswazah.

"Kita mengemukakan cadangan awal sebanyak RM666 juta tetapi kita mencadangkan tambahan lagi dan mudah-mudahan perkara ini diambil peduli oleh Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita ketika program Sesi Sembang Santai Bersama Masyarakat Orang Asli di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Simpang Pulai di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Orang Asli Perak Berhad, Datuk Suki Mee; Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Zamri Salleh dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar.

Tambah beliau, pihaknya yakin permohonan tambahan itu akan diberi pertimbangan sewajarnya.

"Saya amat yakin berasaskan kepada sesi libat urus kementerian saya bersama Kementerian Kewangan, cadangan-cadangan bajet yang kita perlukan itu telah diambil peduli.

"Namun diharapkan ia dimasukkan dalam belanjawan ini agar mudah untuk kementerian dan agensi melaksanakan program yang dirancang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!