SJAM bantu kekang masalah pencemaran air di Selangor

Air Selangor mengesan permasalahan kualiti air mentah berpunca daripada peningkatan ammonia di LRA utama negeri iaitu SSP1, SSP 2 dan SSP3 pada Jumaat. Gambar kecil: Izham Hashim
Air Selangor mengesan permasalahan kualiti air mentah berpunca daripada peningkatan ammonia di LRA utama negeri iaitu SSP1, SSP 2 dan SSP3 pada Jumaat. Gambar kecil: Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menubuhkan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) sebagai salah satu inisiatif menangani masalah kualiti dan kuantiti sumber air di Selangor.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, SJAM merupakan langkah penyelesaian bagi insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah di negeri itu.

Menurutnya, SJAM akan terlibat dalam menyelaras hukuman pesalah yang lebih berat melalui Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pindaan 2020.

"SJAM turut berfungsi dalam pemantauan serta pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

"Ia turut terlibat untuk pengepaman sumber air mentah alternatif dari kolam takungan Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan di Sungai Semenyih," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd telah mengesan permasalahan kualiti air mentah berpunca daripada peningkatan ammonia (AN) di LRA utama negeri iaitu SSP1, SSP 2 dan SSP3 pada Jumaat.

Susulan itu, katanya, SJAM telah segera diaktifkan melalui pengepaman air mentah alternatif ke Sungai Selangor daripada HORAS 600 sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) dengan jarak 2 kilometer (km) bertujuan meningkatkan kadar pencairan sungai dan mengekang kepekatan AN.

"Pintu baraj di LRA juga telah diturunkan oleh pihak Air Selangor bagi mempercepatkan aliran tercemar mengalir melepasi muka sauk LRA.

"Sehingga pagi ini, sebanyak 516 juta liter air mentah alternatif telah disalurkan ke Sungai Selangor dan pencemaran telah berjaya dikawal dan tiada gangguan terhadap operasi LRA.

"Pelaksanaan SJAM ini telah membuktikan ia mampu untuk membantu mengawal dan mengekang permasalahan kualiti sumber air di Selangor sekali gus mengelakkan gangguan operasi LRA dan bekalan air," jelasnya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, SJAM akan melibatkan pembinaan infrastruktur bagi mengalirkan air kolam secara lebih sistematik merangkumi pemasangan pam berkapasiti 3,000 JLH sebagai usaha jangka masa panjang jaminan sumber air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Ia turut libatkan pembinaan rumah pam, paip air mentah dan struktur pintu air boleh laras yang dikawal secara automatik di Sungai Selangor.

" Projek ini dijangka siap pada akhir tahun 2023 akan membolehkan air terus dapat dibekalkan walaupun terdapat permasalahan kualiti kepada sumber air mentah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!