Kaji semula kebenaran penjualan mercun, bunga api - Cake

Aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun dalam negara akan dibenarkan tidak lama lagi, tertakluk kepada peraturan serta garis panduan baharu yang akan dikeluarkan - Foto Bernama
Aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun dalam negara akan dibenarkan tidak lama lagi, tertakluk kepada peraturan serta garis panduan baharu yang akan dikeluarkan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) meminta agar kerajaan mengkaji semula cadangan untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusof berkata, langkah tersebut bukan satu keperluan ketika ini kerana ia memberi risiko kepada aspek keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak.

Jelas beliau, Cake juga berpandangan aktiviti penyeludupan mercun dalam negara ini juga masih belum dapat dikekang.

"Kita tengok banyak insiden yang terjadi sebelum ini berkenaan dengan permainan mercun. Jadi kita tengok tidak ada pun keperluan (untuk membenarkan penjualan mercun). Kalau nak tengok permainan kanak-kanak itu banyak lagi yang boleh dimain, dan kalau yang main mercun ini kebanyakan pada Tahun Baharu Cina.

"Tetapi kita lihat mereka pun ada inisiatif lain untuk main mercun, contohnya (mengurangkan) bunyi. Sekarang ini tidak dibenarkan tetapi ada penyeludupan berlaku dan ada mercun (haram) yang dijual di pasaran.

"Kita harap supaya perkara ini dikaji semula dan kalau boleh tidak dibenarkan penjualan mercun sebab ia membahayakan keselamatan pengguna," katanya ketika dihubungi Awani pada Sabtu.

Bagaimanapun jika ia dibenarkan, Mohamad Yusrizal menambah beberapa garis panduan perlu ditekankan termasuk berhubung tarikh luput dan had usia pembelian mercun.

"Ada mercun yang tidak berfungsi dengan baik, kadang-kadang apabila menyalakan mercun, ia lambat meletup dan apabila pengguna nak pergi tengok, terkena kepada orang. Jadi ciri-ciri keselamatan pada mercun itu perlu ada.

"Kedua, mercun ini sekiranya hendak dijual juga, kanak-kanak yang berumur bawah 16 tahun perlu ada penjagaan daripada waris atau ibu bapa supaya tidak membahayakan keselamatan.

"Pemborong-pemborong pula perlu mengamalkan ciri keselamatan mercun termasuk meletakkan label dan langkah-langkah keselamatan untuk produk mercun," ujarnya lagi.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sedang menunggu dasar dan garis panduan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kebenaran aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM mengikuti apa jua garis panduan dan dasar yang ditetapkan KDN berikutan pelaksanaan perkara tersebut demi menjamin keselamatan orang ramai.

Pada Jumaat, Bernama melaporkan aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun dalam negara akan dibenarkan tidak lama lagi, tertakluk kepada peraturan serta garis panduan baharu yang akan dikeluarkan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sebagai antara langkah yang boleh meningkatkan pendapatan negara dan kerajaan akan mengawal aktiviti penjualannya di peringkat sumber iaitu pemborong dan pengimport. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!