Bukan sekadar melukut

A
A
A

PERIBAHASA lama, ‘ibarat melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi’ memberi gambaran mendalam tentang peri pentingnya keberadaan seseorang dalam kehidupan.

Melukut merujuk kepada serpihan beras yang halus terhasil semasa proses menumbuk padi secara tradisional, manakala gantang pula adalah penyukat beras.

Justeru, dalam proses menyukat beras, jika ada melukut di tepi gantang, ia tidak akan diambil untuk dimasukkan ke dalam gantang. Sementelah ia tidak diperlukan, ia tidak memberi kesan kepada persekitarannya.

Kebijaksanaan dan ketajaman pemikiran orang tua-tua dahulu amat tepat dalam mengiaskan melukut sebagai seseorang yang tidak penting. Jika dia wujud, orang lain mungkin berasa sedikit gusar terhadapnya, tetapi jika dia tiada, tidaklah pula dia dicari-cari.

Penulis ingin membawa minda pembaca menelusuri maksud yang lebih mendalam daripada itu. Dari perspektif pengurusan organisasi, penulis mengiaskan melukut sebagai pekerja yang melakukan kerja seadanya tanpa berminat dalam perkembangan kerjaya.

Kehadiran pekerja sebegini dalam organisasi tidak mengubah atau menambah baik produktiviti kerja. Bagaimanapun, kehadiran ‘pekerja melukut’ boleh memberi impak negatif kepada persekitaran organisasi.

Apakah ciri-ciri ‘pekerja melukut’? Pada hemat penulis, mereka ialah pekerja yang berada dalam zon selesa lantaran masih mendapat kenaikan gaji seperti biasa walaupun tugasan tersebut tidak dilakukan secara berkesan dan cekap.

Justeru, ritual kerja mereka sukar untuk diubah dek persekitaran organisasi seolah-olah menyokong tingkah laku yang ditunjukkan.

Artikel Berkaitan:

Pekerja melukut juga berkemungkinan mempunyai masalah komunikasi dan ini menyebabkan mereka sukar menyesuaikan diri dalam organisasi.

Terdapat juga pekerja melukut yang suka melengah-lengahkan kerja agar mereka sentiasa dilihat sibuk dan banyak tugasan yang perlu dihabiskan.

Akhirnya, pekerja melukut adalah mereka yang tidak diberdayakan (empowered) oleh pengurus. Kegagalan pengurus memberi pemberdayaan kepada pekerja melukut menyebabkan operasi organisasi menjadi perlahan, beban tugas bertambah dan aduan pelanggan meningkat.

Ciri-ciri pekerja melukut yang dinyatakan di atas memerlukan perhatian kepimpinan organisasi. Pengabaian organisasi terhadap pekerja melukut ini boleh menularkan aura negatif kepada pekerja lain yang bermati-matian menggunakan potensi diri, berusaha untuk organisasi.

Ada ketika, pengurus sendiri tidak berpuas hati dengan pekerja melukut. Mereka membuat pelbagai aduan tentangnya kepada pihak atasan, namun amat mengecewakan apabila pekerja yang diadu inilah sering pula diberi markah prestasi tahunan yang tinggi oleh pengurus sama!

Tambah memburukkan keharmonian suasana kerja apabila pekerja melukut diangkat sebagai penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC). Ralat sebegini mungkin berlaku apabila organisasi mengamalkan sistem penggiliran dalam pemberian APC kepada semua warganya.

Atas sebab sebegini, terdapat jabatan yang sukar melepaskan pekerja yang dirasakan terbaik dan selesa untuk mereka bekerja bersama-sama.

Pengurus bertindak menyekat pekerja cemerlang keluar dari jabatannya mungkin kerana dia tidak mahu menerima pekerja melukut sebagai pengganti.

Justeru, pekerja melukut perlu sedar dan sanggup keluar dari zon selesa sekiranya dia ingin menjadi ‘intan terpilih’ dalam organisasinya.

Satu cara untuk mengurangkan rasa takut keluar dari zon selesa tersebut adalah dengan usaha meningkatkan keupayaan dan kelebihan diri melalui latihan dan pembangunan.

Ditambah dengan persediaan mental yang rapi, seseorang individu yang terdidik mampu memperbaiki dirinya dan lebih berdaya maju pada masa hadapan.

Inilah kuasa atau pengaruh latihan dan pembangunan yang diharap dapat mengubah budaya kerja individu yang tidak mementingkan kecekapan dan keberkesanan.

Semua warga organisasi wajar berusaha mengelak diri menjadi pekerja melukut. Kita mesti berusaha mengubah budaya kerja kepada yang lebih positif selari dengan perkembangan yang berlaku dalam persekitaran.

* Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!