Kerjasama adil antara agenda mesyuarat menteri luar ASEAN
JAKARTA - Agenda kerjasama yang adil dengan mana-mana blok, isu Myanmar, kestabilan rantau dan Islamofobia menjadi antara fokus perbincangan di Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM Retreat), menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, anggota ASEAN ingin mewujudkan kerjasama yang baik dengan pelbagai negara dan blok untuk meningkatkan perdagangan serta menjadi platfom dalam menyelesaikan sebarang masalah.
"ASEAN sentiasa menekankan bentuk kerjasama berdasarkan prinsip adil dan saksama yang dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada media Malaysia selepas mesyuarat AMM Retreat di sini hari ini.
Zambry berkata, hubungan baik yang sedia terjalin dapat dikekalkan tanpa unsur diskriminatif ataupun meletakkan syarat tertentu kepada ASEAN.
Beliau menegaskan pelaksanaan keputusan oleh Kesatuan Eropah menghalang kemasukkan keluaran komoditi dari rantau ini ke pasaran mereka dengan pelbagai halangan dan alasan kurang disenangi ASEAN.
Mengenai Myanmar, Zambry berkata ASEAN terus melakukan ‘engagement’ dengan seluruh pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyelesaian tanpa menetapkan jangka masa.
ASEAN turut berharap satu proses rundingan yang inklusif dapat dijalankan di Myanmar bagi mengembalikan semula demokrasi.
"Kita tidak mahu memberi satu tempoh waktu untuk diselesaikan hal yang begitu komplek dalam politik dan suasana negara berkenaan kerana melibatkan pelbagai pihak dan perundingan,” katanya.
Mesyurat yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi itu juga sepakat untuk memastikan rantau ASEAN bebas daripada pertelingkahan dan ancaman ‘kuasa besar’.
Menurut Zambry, rantau ini terutamanya Laut Cina Selatan tidak boleh dibenarkan sama sekali menjadi tempat pertempuran baru atau ‘flash point’ yang menggugat kestabilan.
"Malaysia dan ASEAN perlu memainkan peranan sebagai mediator kalau terjadi sebarang pertelingkahan pada masa akan datang,” tegasnya.
Pada mesyuarat itu, Zambry turut mengajak negara anggota untuk sama-sama memerangi sentimen Islamofobia dan kebencian terhadap mana-mana agama agar keharmonian yang wujud dikekalkan.
"ASEAN perlu terus menunjukan contoh teladan yang baik kerana boleh bertoleransi dalam hidup yang berlatarkan pelbagai agama, budaya dan bahasa,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!