'Ahli Parlimen perlu maksimum sumber bantu penduduk diwakili'
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, antaranya ahli Parlimen boleh berusaha mendapatkan bantuan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada rakan-rakan korporat mereka.
"Dalam keadaan ekonomi dan kekangan kewangan yang ada ini, setiap ahli parlimen perlu mengambil tanggungjawab supaya dapat menyantuni warga setempat di kawasan mereka.
"Apa yang penting pastikan kebajikan rakyat itu sentiasa terbela,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konsert Muzika Ekstravaganza di Angkasapuri pada Sabtu yang turut dihadiri Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo.
Pada Jumaat media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengesahkan terdapat pengurangan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta yang bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Fahmi menyifatkan langkah pengurangan itu bertepatan dengan situasi ekonomi ketika ini selain memperlihat kebijakan Perdana Menteri dalam menangani kekangan kewangan yang ada.
Bagaimanapun menurutnya, beliau percaya Perdana Menteri akan menilai semula perkara berkaitan pengurangan peruntukan kepada ahli parlimen itu apabila tiba masa yang sesuai.
Sementara itu, ditanya mengenai harapan kementeriannya dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini, Fahmi berkata, pihaknya sudah mengajukan beberapa cadangan tambahan dan perubahan yang ingin dilakukan.
"Apa pun kita ambil maklum keadaan ekonomi sekarang terutama daripada segi keadaan kewangan, dan bebanan hutang kerajaan, maka program-program yang akan kita atur ini kita harap dapat memberi impak yang tinggi terutama untuk membantu menjana ekonomi negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!