Hazana reda jaga ibu terlantar, adik OKU
KOTA BHARU - Tidak mudah menjaga dua individu yang memerlukan perhatian namun tanggungjawab itu tetap digalas Hazana Abd Hamid, 45.
Hazana yang bekerja di kedai makan berdekatan rumahnya di Kampung Beris Jambu, Jalan Panji di sini reda menjaga ibunya, Kamariah Daud, 88, yang terlantar sejak sebulan lalu dan adik tiri, Siti Zulaiha Abd Hamid, 30, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), cerebral palsy.
Rutin harian Hazana bermula seawal selepas azan Subuh dengan menyiapkan ibu dan adiknya sebelum keluar bekerja jam 6.30 pagi.
Hazana terpaksa berkejar masa kerana perlu mengurus adik di rumah pusaka peninggalan arwah bapa manakala ibunya berada di rumah kakaknya, Hamshah Abd Hamid, 69, kira-kira 20 meter dari rumah itu.
"Saya akan pulang pada jam 12 tengah hari untuk memberi adik dan ibu makan. Kakak tidak mampu mengurus ibu sendirian kerana faktor usia dan memerlukan bantuan.
"Adik pula tidak boleh ditinggalkan terlalu lama keseorangan kerana bimbang keselamatannya," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Bercerita mengenai adiknya, sejak mengambil alih menjaga Siti Zulaiha selepas kematian ibu kandungnya tujuh tahun lalu, adiknya itu sudah beberapa tahun tidak menikmati 'suasana' di luar rumah.
Hazana memberitahu, agak sukar untuk membawa Siti Zulaiha keluar bersiar-siar kerana dia tidak dapat duduk dengan selesa di atas kerusi roda.
Bagaimanapun katanya, adiknya sangat gemar makan nasi bersama lauk dan gembira jika disuapkan makanan ketika makan bersama.
Berkongsi mengenai keadaan ibunya pula, Hazana memberitahu, sudah lebih sebulan warga emas itu terlantar selepas mengalami muntah dan angin ahmar ringan sehingga mengakibatkan lumpuh sebelah kiri badan.
Jelas wanita itu lagi, ibunya tidak boleh makan makanan biasa dan memerlukan susu formula khas berharga RM95 setin dan habis dalam tempoh seminggu.
Menurut Hazana, ibunya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan manakala adiknya sebanyak RM500 sebulan.
"Alhamdulillah, walaupun tidak mencukupi tetapi dapat membantu saya membeli keperluan terutama susu khas untuk ibu dan lampin pakai buang kedua-dua mereka selain membayar khidmat doktor yang merawat dan menukar wayar susu ibu," katanya.
Hazana tidak menafikan penat menjaga kedua-dua mereka tetapi dia tetap bersyukur kerana keluarga lain turut bertanya khabar.
"Walaupun penat saya akan menjaga ibu dan adik kerana itu tanggungjawab dan berharap keadaan akan lebih baik selepas ini," katanya.
Orang ramai yang mahu memberi bersimpati boleh menyumbang di akauan Maybank 162272012590 atas nama Hazana Abd Hamid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!