Apabila isteri bertanya

A
A
A

“BENGKEL di mana?” tanya isteri saya ketika kami singgah di reruai Pak Samad.

“Di Yan,” balas Pak Samad sambil tersenyum.

“Bengkel sendiri? tanya isteri saya lagi.

“Aha ya. Dulu pakcik saya yang punya. Saya ambil alih selepas pakcik meninggal."

Isteri saya terus membelek-belek keris yang tersusun rapi di atas meja. Keris-keris yang bermacam jenis ini amat menarik perhatian saya juga.

Sarungnya dihiasi dengan berbagai ukiran corak. Halus ukirannya, menzahirkan pembuatan yang sangat teliti.

Hulu keris juga mempunyai berbagai bentuk. Ada yang lurus, berbentuk tombol dan paruh.

Saya tidak banyak tahu tentang keris. Zaman sekarang keris hanya dipakai apabila ada keramaian seperti majlis perkahwinan atau majlis rasmi orang Melayu. Saya pun hanya pakai ketika bernikah dahulu dan tidak pernah pula menghunus keris itu. Hanya terselit sebagai lambang raja sehari.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak melawat bengkel dan bawa anak-anak boleh tak?” tanya isteri saya lagi yang sejak dahulu berminat dengan sejarah dan tamadun purbakala.

“Oh bengkel saya biasa-biasa saja,” sampuk isteri Pak Samad yang juga ada di reruai untuk membantu.

Kelihatan isteri Pak Samad tekun menyusun dan menggosok keris dengan kain kuning supaya kelihatan bersinar. Tidak banyak yang dibawa, tetapi cukup untuk menarik perhatian saya dan isteri berhenti melihat.

“Buatlah elok-elok bengkel tu. Biar cantik. Nanti boleh jemput anak-anak sekolah datang tengok cara pembuatan keris.

"Jemput sekolah-sekolah, uar-uarkan kepada mereka. Anak-anak kena tahu warisan nenek moyang kita ni, rugi kalau hilang begitu saja.”

Isteri saya mula memberi syarahan kepada Pak Samad. Isu-isu warisan dan sejarah orang Melayu ini khasnya amat sensitif buat beliau.

Pak Samad hanya mengangguk-angguk. Isterinya pula tersenyum kemudian berkata, “nanti nak datang beritahulah.” Sambil melakarkan lokasi bengkel.

Isteri Pak Samad lalu menghulurkan kertas lakaran lokasi bengkel kepada isteri saya. Saya pula masih leka membelek-belek sahaja keris-keris yang terpamer itu.

Harganya boleh tahan juga. Ya lah buatan tangan yang amat halus. Elok untuk dijadikan hadiah dan barang perhiasan.

“Ada tulis tak tentang cara-cara buat keris? Buatlah buku ke, nanti senang generasi akan datang untuk baca dan tahu akan warisan tok nenek moyang kita,” kata isteri saya lagi.

“Oh, tak boleh. Ini rahsia keluarga kami turun-temurun. Kalau orang tahu habislah,” kata Pak Samad tegas.

Isteri saya hanya menggeleng kepala. Mungkin pada pemikirannya jika tidak dihebahkan akan kesenian membuat keris ini, maka tidak mustahil akan pupus warisan seni nenek moyang kita bersama pembuatnya.

Ketika hendak meninggalkan reruai Pak Samad, isteri saya bertanya lagi, “tahu tak di mana tempat orang buat gendang?”

“Oh tahu. Kawan saya ada buat. Di Pekan Rabu ada,” kata Pak Samad. Isteri saya mengangguk dan kami terus berlalu. Dalam perjalanan ke parkir kereta, dia memberi syarahan lagi dengan menyatakan pembuat keris ini berada dalam lingkungan mereka sahaja.

"Mereka tidak uar-uarkan. Hanya yang tahu boleh mencarinya. Sedangkan ini warisan bangsa, elok dihebahkan dan diturunkan ilmu itu untuk generasi muda."

Saya mengangguk-angguk lagi. Begitulah isteri saya yang memang suka bertanya dan memberi syarahan.

Di dalam kereta, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat, isteri saya bertanya lagi, apa pendapat saya tentang Tun Dr Mahathir.

“Erk, pendapat apa?” tanya saya semula.

“Strategi Tun sekarang, banyak sangat perkara yang berlaku mutakhir ini, ditambah lagi ramai menteri Pasola yang membuat kenyataan pelik.”

“Oh, baru jadi kerajaan biasalah tu,” jawab saya ringkas dan menyambung tanya apa yang pelik.

“Kenyataan nak mansuh tol kemudian pening pula tak boleh nak mansuh. Apa nama menteri tu yang sorang yang kata boleh mansuh tol tu, Loke, lok, Luke, entah siapa namanya,” kata isteri saya lagi.

Saya hanya senyum. Tiba-tiba saja teringat kenyataan daripada seorang kawan, “ ....there is one idiot suddenly said to abolish toll.”

Ketika sampai di rumah, isteri saya hanya diam. Mungkin sedang memikirkan sesuatu agaknya. Saya pula agak lega kerana dia tidak mengulangi soalan yang meminta pendapat saya tentang pemerintahan Tun sekarang. Dia lupa agaknya.

Selesai makan malam, kami bercadang menonton drama yang dikatakan sangat kontroversi. Setelah kecoh dengan sup bunjut pada edisi pertama, terdetik di hati saya untuk tahu kontroversi apa lagi yang akan timbul pada edisi baharu ini.

Sedang khusyuk melihat drama, tiba-tiba terbit iklan kosmetik. Iklan ini sebenarnya seronok juga untuk dilihat. Melihat telatah seorang artis yang bersungguh-sungguh mempromosikan produk kecantikan dengan gaya ala -ala manja begitu.

Ketika sedang khusyuk melihat petahnya artis itu bercakap, tanpa disedari isteri memandang saya pula.

“Sebagai seorang lelaki, apa pandangan kekanda ketika melihat iklan ini?”

Saya tidak menjawabnya. Terus sahaja bingkas sambil memberitahu,” erk nak tidur awal. Nanti lewat pula nak hantar anak ke sekolah.”

Tidak elok rasanya memberitahu pandangan saya.

* Faisal Muhammad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!