Kemenangan Everton ke atas Arsenal satu permulaan - Dyche
SEAN Dyche mengisytiharkan kemenangan 1-0 Everton ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal hanyalah permulaan ketika pengendali baharu The Toffees itu membuat penampilan sulung di Goodison Park.
Kehadiran semula bekas bos Burnley berusia 51 tahun itu menyaksikan Arsenal mengalami kekalahan liga kedua musim ini selepas tandukan separuh masa kedua daripada James Tarkowski hasil sepakan sudut daripada Dwight McNeil, dua pemain yang merupakan sebahagian daripada unit Dyche di Burnley terdahulu.
"Ia adalah titik permulaan, namun prestasi dan keputusan seterusnya tidak terjamin.
"Ia adalah satu permulaan, ia adalah cara mereka mengambil alih dan berbangga dengan apa yang kami cuba lakukan minggu ini dan saya gembira dengan itu.
"Perkara seterusnya ialah bagaimana kami boleh membawanya ke hadapan," kata Dyche.
Dyche percaya bahawa para pemainnya tidak boleh mengambil mudah selepas kemenangan mengejut itu sebaliknya mesti terus bekerja keras ketika mereka meneruskan usaha menyisihkan diri dari zon penyingkiran.
Everton, yang kini mengumpul 18 mata daripada 21 perlawanan, seterusnya melawat saingan Merseyside, Liverpool di Anfield pada 14 Februari.
"Kami mempunyai pemain yang sangat bagus di sini dan saya mahu memberi mereka kebebasan untuk bermain tetapi permainan ini mempunyai cara tertentu.
"Anda perlu melakukan perkara asas dan ia berkenaan menterjemahkan setiap sesi latihan dalam bentuk keputusan cemerlang semasa perlawanan.
"Kami perlu berlari lebih pantas, bekerja lebih keras, selain perlu menangani tekanan dan kami perlu berjuang secara taktikal dan teknikal di atas kebebasan itu," tambah Dyche.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!