Kartunis terkenal majalah Gila-Gila meninggal dunia

Tangkap layar status dimuat naik oleh adik Allahyarham Abdul Fatah, Manan di laman Facebooknya pada Ahad.
Tangkap layar status dimuat naik oleh adik Allahyarham Abdul Fatah, Manan di laman Facebooknya pada Ahad.
A
A
A

DUNGUN - Kartunis terkenal majalah Gila-Gila, Abdul Fatah Ngah, 70, yang sinonim dengan karya Lagak A Mamud meninggal dunia jam 1.45 pagi pada Ahad.

Perkembangan itu dikongsikan adiknya, Manan Ngah yang juga merupakan komposer terkenal tanah air menerusi hantaran di laman Facebooknya kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut Manan, jenazah abangnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Syed Yahya, di Dungun kira-kira jam 11 pagi Ahad.

"Semoga beroleh pengakhiran yang baik-baik buat abang kandungku Fatah Ngah @ lagak A.Mamud (70 tahun). Beliau (Allahyarham) telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi sekitar 01.45 pagi

"Kepada yang mengenali maafkanlah segala kesalahan beliau (Allahyarham) terhadap anda sekiranya ada," tulisnya.

Sementara itu, menurut perkongsian di laman Facebook Rakan Sejarah Dungun, Abdul Fatah yang berasal dari Dungun, Terengganu mula berkarya sejak 1978 dan aktif menyertai pameran kartun pada tahun 1980.

Abdul Fatah merupakan nama besar dalam arena kartun di Malaysia malah beliau merupakan kartunis generasi pertama yang mempelopori kebangkitan kartun pada akhir 1970-an dengan kelahiran Majalah Gila-Gila.

Seniman itu pernah mengukir kejayaan dengan memenangi Anugerah Kartunis Malaysia 2015 yang ketika itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Abdul Fatah sebelum ini terlantar sakit akibat penyakit saraf yang dialami sejak sekian lama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!