Thaipusam: Geng kongsi gelap peras ugut peniaga
GEORGETOWN - Dua lelaki dipercayai geng kongsi gelap ditahan selepas memeras ugut seorang peniaga di tapak gerai perayaan Thaipusam di Jalan Utama di sini pada jam 4 pagi, Jumaat lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, dua suspek berusia lingkungan 20an itu dikatakan tidak membenarkan peniaga tersebut berniaga di situ lalu mengugut mahu merosakkan gerainya.
"Selepas menerima laporan daripada seorang lelaki, kita menahan dua lelaki tidak jauh dari lokasi kejadian. Pemeriksaan pada badan suspek mendapati, kedua-duanya mempunyai tatu yang menandakan mereka ini adalah ahli kongsi gelap daripada sebuah kumpulan.
"Mereka juga dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan peras ugut ke atas peniaga tersebut. Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 7 Februari ini untuk siasatan lanjut," katanya selepas meninjau perarakan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga di sini pada Ahad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga Kanada mengalami kerugian sebanyak RM6,000 selepas menjadi mangsa penyeluk saku ketika sedang leka menyaksikan perarakan pedati di Lebuh Chulia, di sini pada Sabtu.
Mohd Shuhaily berkata, mangsa yang berusia 79 tahun itu menyedari dompet di dalam begnya hilang pada jam 9 pagi.
"Mangsa datang ke sini untuk melancong dan ketika teruja menyaksikan perarakan pedati, dompetnya telah dicuri oleh penyeluk saku.
"Mangsa hanya menyedari kehilangan dompetnya itu selepas mendapati zip begnya terbuka," katanya.
Menurutnya, selain warga emas itu, polis turut menerima tiga lagi laporan berhubung kes yang serupa yang berlaku pada Sabtu.
"Kes kedua melibat seorang wanita berusia 58 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM500 apabila dompetnya dicuri oleh penyeluk saku ketika sedang mengikut perarakan pedati di Lebuh Victoria.
"Sementara itu, kes ketiga dan keempat berlaku di Jalan Utama melibatkan dua wanita iaitu seorang dari Jelutong dan seorang dari Kulim, Kedah. Kedua-dua kejadian berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi tadi (Ahad)," katanya.
Tambah beliau, wanita dari Kedah berusia 37 tahun mengalami kerugian RM500 manakala mangsa dari Jelutong berusia 38 tahun mengalami kerugian RM150.
"Saya menasihatkan pengunjung, tidak kira untuk datang menyaksikan atau meraikan perayaan ini supaya tidak memakai barangan kemas berlebihan selain tidak membawa wang dalam kuantiti yang banyak bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
"Selain itu, saya juga menasihatkan orang ramai rancang perjalanan serta menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Kita menjangkakan kemasukkan kenderaan akan meningkat dari masa ke semasa," katanya.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan pengunjung terjamin sepanjang perayaan Thaipusam yang bermula sejak 4 hingga 7 Februari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!