BNC siarkan wawancara khas Tun Daim malam ini
KUALA LUMPUR - Bernama News Channel (Astro 502) akan menyiarkan wawancara khas dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin pada 8.30 malam ini.
Dalam wawancara itu yang kandungannya sebelum ini dilaporkan sebagai berita, Daim berkeyakinan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion, berkemungkinan besar akan dapat dikurangkan lagi.
Ketika ditemu bual oleh hos BNC, Mikhail Raj Abdullah, beliau juga mengulas isu-isu lain berhubung daya maju projek, muatan kargo berbanding jumlah penumpang, faktor Bentong dan Gombak dikeluarkan daripada jajaran serta dakwaan ECRL akan menjadi ‘gajah putih’.
Daim juga membidas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang seakan-akan bersungguh-sungguh serta tidak putus-putus menyebarkan dakwaan palsu, dan menyatakan beliau berasa terpanggil untuk bertanya beberapa soalan mengenai ECRL kepada bekas perdana menteri itu, atas dasar ketelusan.
Temu bual itu akan ke udara pada jam 8.30 malam ini dan akan diulang siar pada jam 8.30 pagi serta 4.30 petang esok; 3.30 petang dan 7.30 malam Ahad; 11.30 pagi Isnin serta 3.30 dan 8.30 malam Selasa ini.
Selain saluran Astro 502, program juga boleh ditonton menerusi Unifi tv 631, MYTV 121 dan laman sesawang http://bernamanewschannel.com/; www.bernama.com dan YouTube. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!