Sultan Johor hadir majlis santapan sempena Thaipusam
JOHOR BAHRU - Sultan Johor berkenan berangkat ke majlis santapan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar di Skudai di sini pada Ahad.
Ketibaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di kuil berusia lebih 50 tahun pada jam 11 pagi itu disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut hadir Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven serta Pengerusi Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar, Datuk S Balakrishnan.
Kira-kira 10,000 penganut, pengunjung termasuk pelancong dari Singapura hadir dalam sambutan itu yang diadakan secara besar-besaran kali ini selepas sekatan akibat Covid-19 sebelum ini.
Pada majlis terbabit, Sultan Ibrahim berkenan menerima sumbangan RM5,000 daripada pihak kuil untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Baginda turut berkenan memberi sumbangan sebanyak RM200 setiap seorang kepada 10 pelajar terpilih dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Rini, Iskandar Puteri, dekat sini.
Sebelum bersantap, baginda menerima cenderahati belanga diperbuat daripada perak yang ditempah khas dari India.
Difahamkan kunjungan terbabit merupakan kali pertama bagi Sultan Ibrahim menghadiri sambutan Thaipusam dalam tempoh tiga tahun berikutan wabak Covid-19 sebelum ini.
Kali terakhir Sultan Johor menghadiri perayaan itu adalah pada 2019 di kuil Arulmigu Thendayuthapani di Wadi Hana di sini.
Sementara itu, seorang guru, M Thulasi, teruja dapat bertemu dengan Sultan Ibrahim pada majlis santapan.
Menurutnya, itu merupakan kali pertama dia bertemu dengan baginda yang mesra dengan hadirin tanpa mengira bangsa.
"Saya menemani kumpulan murid dari keluarga B40 untuk menerima sumbangan hari ini, kami bersyukur dapat bersembahyang, menyaksikan kavadi selain bertemu dengan tuanku," katanya.
Seorang kanak-kanak, K Rasveen, 11, Skudai, berkata, pada tahun ini dia dan keluarganya tidak melepaskan peluang untuk membayar nazar.
Dia bersyukur cuaca pada hari ini juga agak cerah berbanding beberapa hari sebelum ini.
"Saya bangun seawal jam 3 pagi hari ini untuk bersiap sedia menjunjung belanga yang mengandungi susu," katanya ketika ditemui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!