Noraini digesa berundur

Noraini ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO pada Khamis.
Noraini ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad digesa untuk berundur daripada mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti akan datang.

Wanita Titiwangsa, Azwati Abdul Halim berkata, gesaan dilakukan agar Noraini dapat bertanggungjawab sepanjang mengetuai sayap itu.

Menurut beliau, sebagai ketua, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong seharusnya mendengar masalah dihadapi anak buahnya dan bukannya menjauhkan diri.

“Mengapa akar umbi memilih untuk menolak Noraini? Mengapa 147 Ketua Wanita Bahagian tidak lagi menyokong Noraini dan mahu orang lain sebagai ketua? Noraini tahu sebabnya.

“Wanita selain berjuang untuk kepentingan dan kemenangan parti, nasib mereka perlu juga dibela. Ketua perlu menadah telinga untuk mendengar masalah mereka dan bukan menjauhkan diri.

“Sebagai wanita, kita tidak peduli tentang apa yang diperkatakan tentang ketua kami. Kami pekakkan telinga bila ada berita atau tulisan yang kami baca tentang ketua kami tapi jangan diperdayakan kami,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih separuh Ketua Wanita UMNO Bahagian di seluruh negara meminta agar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia.

Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.

Haryaty berkata, reputasi dan legasi Shahrizat semasa menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditinggalkan sebelum ini amat berkesan dan banyak kejayaan yang dihasilkannya.

Perkara sama turut dilontarkan oleh Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani bahawa bekas Ketua Wanita UMNO itu merupakan individu yang lebih layak mengetuai sayap tersebut berbanding Noraini pada pemilihan parti Mac depan.

Bagaimanapun berbeza dengan Pengarah Komunikasi Wanita BN, Datuk Rosni Zahari yang sebelum ini berkata bahawa tidak adil untuk menyamakan kepimpinan Noraini dengan yang terdahulu.

Jelasnya, ini kerana Noraini diangkat menjadi Ketua Wanita semasa UMNO berada dalam keadaan yang sukar, sangat lemah, tiada kuasa dan tiada wang ringgit.

Mengulas mengenai perkara itu, Azwati menjelaskan, Noraini perlu berani berusaha menyelesaikan segala masalah yang dihadapi wanita meskipun dalam apa sahaja situasi.

“Menjadikan alasan bahawa Noraini mengambil jawatan ketika UMNO sedang kalah dan berdepan dengan kesulitan memimpin kerana berbagai masalah tidak sepatutnya menjadi mauduk kepada tulisan tersebut.

“Bila Noraini dilantik menjadi menteri, itulah masa yang sepatutnya digunakan untuk memperkukuhkan wanita, tetapi apa yang Noraini buat?" soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!