Anjing liar mengganas, 23 biri-biri mati diserang
JERTIH - Sebanyak 23 ekor biri-biri yang dipelihara penduduk di tiga kampung di sini mati dipercayai menjadi mangsa serangan anjing liar sehingga menimbulkan keresahan penternak selain turut dikhuatiri akan mengancam keselamatan orang ramai.
Mohd Aliff Mohd Ariffin, 34, dari Kampung Bukit Puteri berkata, sebanyak 18 ekor anak biri-biri ternakannya mati selepas diserang kira-kira lima ekor anjing liar yang menceroboh masuk ke kawasan kandang biri-birinya pada waktu petang awal bulan ini.
"Kumpulan anjing liar itu menyerang biri-biri pelbagai peringkat umur termasuk yang dewasa...anjing liar itu hanya membunuh tetapi tidak memakan haiwan ternakan itu, ekoran kejadian itu saya terpaksa mengurung biri-biri yang lain di dalam kandang,” katanya.
Mohd Aliff yang kerugian lebih RM5,000 berkata, kejadian seumpama itu pertama kali dialaminya sejak dia menternak biri-biri tujuh tahun lepas dan akan melaporkan kejadian itu kepada Majlis Daerah Besut.
Seorang penduduk dari Kampung Pusu Tinggi Hassan Abdullah, 56, pula berkata, tiga ekor biri-biri miliknya yang ditambat di tepi tali air di belakang rumahnya turut menjadi mangsa serangan anjing liar pada petang Rabu lepas.
"Selain bimbang kejadian sama berulang, penduduk kampung paling bimbang kemungkinan anjing liar bertindak lebih agresif dan menyerang manusia terutama kanak-kanak,” kata pesawah itu.
Dalam kejadian terbaharu pada jam 3 pagi tadi, seekor anak biri-biri milik seorang penduduk Kampung Tok Has nyaris menjadi mangsa serangan sekumpulan tiga ekor anjing liar yang kemudian disedari penduduk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!