KPDN tahan lelaki bersama 500 liter minyak petrol
TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki berusia 30-an bersama 500 liter minyak petrol selepas disyaki memiliki barangan kawalan itu tanpa kebenaran sah dalam sebuah kereta di Kampung Palekbang, di sini pada Sabtu.
Lelaki warga tempatan itu ditahan pada jam 8.30 malam menerusi Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, terdahulu pihaknya telah mengesan pergerakan sebuah kenderaan dari arah Kota Bharu menuju ke Kampung Palekbang dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemui muatan minyak petrol anggaran sebanyak 500 liter di dalam beberapa tong jerikin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurut beliau, pihaknya telah membuat sitaan terhadap barang kawalan tersebut dengan nilai rampasan anggaran sebanyak RM1,025.
Ujarnya, turut disita sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang telah diubah suai tangkinya bernilai RM6,000.
Azman memberitahu, kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Pihak kami memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!