Tiga remaja ditahan, motosikal disita

Antara motosikal yang ditahan dalam Operasi Risikan Samseng Jalanan di sekitar kawasan Bukit Tinjau di sini pada Ahad.
Antara motosikal yang ditahan dalam Operasi Risikan Samseng Jalanan di sekitar kawasan Bukit Tinjau di sini pada Ahad.
A
A
A

AMPANG JAYA - Tindakan tiga remaja mengubah suai motosikal yang ditunggang membawa padah apabila ditahan dalam Operasi Risikan Samseng Jalanan di sekitar kawasan Bukit Tinjau di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiga remaja lelaki berumur antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Pasukan 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya.

"Operasi dijalankan telah mendapati motosikal yang ditunggang tiga remaja tersebut telah diubah suai pada pelbagai bahagian komponen.

"Kesemua mereka bersama motosikal yang ditunggang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk proses dokumentasi," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, operasi yang dijalankan turut mengeluarkan sebanyak 17 keping saman atas pelbagai kesalahan.

"Motosikal yang telah ditahan turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ujar Mohamad Farouk, semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal diingatkan supaya menunggang secara berhemah dan cermat serta tidak mengubahsuai sebarang struktur sedia ada.

"Ini bagi mengelakkan dari berlakunya perkara yang tidak diingini sekiranya pengubahsuaian dilakukan.

"Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!