Ramai pelajar anggap vape tidak bahaya, macam gula-gula
JOHOR BAHRU - Ramai pelajar sekolah menengah terjebak menghisap vape kerana beranggapan rokok elektronik itu hanyalah cecair wap biasa yang berperisa seperti gula-gula dan tidak membahayakan kesihatan.
Penceramah dari Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Madihah Rushaidhi berkata, tanggapan itu tidak betul kerana kebanyakkan cecair berperisa vape itu mempunyai nikotin yang menyebabkan ketagihan.
"Bahaya kandungan nikotin ini menjadi lebih kepada ketagihan, membantutkan pembelajaran, hilang fokus dan seterusnya menyumbang masalah gejala sosial yang lain.
"Ramai remaja yang anggap vape ini selamat daripada rokok, mereka rasa vape macam gula-gula dan wap air berperisa.
"Tanggapan itu salah sedangkan ia wap air yang berbahaya kepada kesihatan terutama masalah paru-paru," katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Program Jelajah Bahaya Vape (JBV) di Setia Tropika di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, cecair vape mengandungi nikotin merembeskan bahan kimia dalam dopamin seterusnya akan memberikan satu perasaan gembira.
"Dopamin melatih otak agar mengulangi tingkah laku pengambilan sehingga akhirnya menimbulkan kebergantungan dan ketagihan," katanya.
Dr Madihah berkata, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2019 melaporkan kira-kira 300,000 murid sekolah terjebak dengan penggunaan vape dan daripada jumlah itu 50,000 adalah murid perempuan.
Justeru katanya, JBV adalah satu usaha menyokong seruan kerajaan melahirkan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG).
"Selain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk vape kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007, usaha JBV ini perlu mendapat sokongan golongan profesional dalam memberi kesedaran bahaya vape kepada remaja," ujarnya.
Sementara itu, pengarah program JBV, Norleyana Yahya pula berkata, mahu mencuba, pengaruh rakan, kononnya hilangkan tekanan atau stres menjadi antara faktor pelajar sekolah menghisap vape.
Malah katanya, ada pelajar yang bertindak lebih berani dengan membawa peranti itu untuk dihisap di kawasan sekolah akibat ketagihan.
Norleyana memberitahu, kepelbagaian bentuk dan warna vape juga mempengaruhi pelajar untuk mencuba vape yang ternyata berbahaya kerana mengandungi cecair nikotin.
"Ada satu kes ini di sekolah di negeri ini, pelajar membawa vape dan hisap dalam kelas ketika ketiadaan guru. Ada yang menyorokkan vape dalam tandas sekolah.
"Situasi ini menggambarkan mereka ketagihan untuk menghisap vape dan berani membawa peranti itu ke kawasan larangan.
"Menerusi JBV ini kita berikan penerangan bahaya vape, kesan buruk jangka panjang kepada remaja yang mana sasaran kita adalah pelajar sekolah. Pelajar perlu ingat vape bukan alternatif kepada rokok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!