KL City perlu lebih masa capai keserasian - Hodak

Pemain KL City FC meraikan kejayaan bersama selepas menjuarai Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 malam Sabtu. - Foto Bernama
Pemain KL City FC meraikan kejayaan bersama selepas menjuarai Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A
KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak merasakan pasukannya memerlukan lebih masa untuk mencapai keserasian, walaupun memenangi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 malam Sabtu.

Hodak berkata, KL City, yang dibarisi beberapa muka baharu memerlukan lebih banyak perlawanan untuk ke tahap itu bagi menghadapi cabaran getir pada saingan Liga Super yang akan membuka tirai pada hujung Februari.

"Untuk semua pihak, mereka memerlukan perlawanan untuk mendapat keserasian, seperti di pejabat jika anda bekerja di satu pejabat (selama) 10 tahun, anda akan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik, jika anda bekerja satu atau dua bulan anda tidak akan memahaminya, perkara ini sama seperti dalam bola sepak.

"Kami berada pada tahap 60 peratus (persediaan), jadi saya 60 peratus gembira,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.

Pada pertembungan malam Sabtu, KL City menjulang Piala Menteri Wilayah Persekutuan buat kali kedua selepas menewaskan Perak FC 3-0.

Kemenangan itu menebus kekalahan mereka kepada Negeri Sembilan tahun lepas, setelah menjuarai edisi sulung pada 2021.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Hodak berkata, keputusan itu dilihat baik buat pasukannya kerana gawangnya tidak bolos, namun beliau mengakui terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki anak buahnya pada perlawanan akan datang.

"Saya rasa bahagian tengah kita tidak cukup ketat dan kita perlu mengubahnya, serangan, penyudah dan hantaran akhir boleh menjadi lebih baik,” katanya.



Kemenangan malam tadi bagaimanapun memberikan KL City kemenangan pertama dalam tempoh pramusim selepas mencatat keputusan seri menentang Terengganu FC dan Kelantan United FC bulan lepas.

KL City akan memulakan kempen Liga Super bertemu Penang FC di sini pada 25 Februari nanti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!