Wanita diekori duda tunjuk kemaluan
YAN - Seorang duda dikesan berkelakuan tidak senonoh terhadap dua wanita ketika menunggang motosikal dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi Jalan Teroi di sini pada Ahad.
Dalam kejadian itu, mangsa, Nur Wahida Ahmad, 27, dikatakan sedang menunggang motosikal bersama anak saudara berusia 20-an sebelum terserempak dengan lelaki terbabit yang disedari berkelakuan tidak senonoh tanpa segan silu dengan menunjukkan kemaluannya.
Menurut Nur Wahida, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Guar Chempedak untuk pulang ke rumah di Kampung Keda, Sungai Udang di sini.
"Kejadian itu berlaku ketika kami sampai di Batu 22, Jalan Teroi- Sungai Yan ternampak seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 warna biru mengekori sambil menunjukkan kemaluannya.
"Ketika itu, kami tidak mempedulikannya, dia terus memecut laju tetapi berhenti apabila menyedari sebuah kenderaan lain mendekati kami.
"Kemudian kami nampak dia lagi sekali dari belakang, ketika itu terus ambil telefon dan rakam video," katanya.
Disebabkan bimbang keselamatan diri, mangsa terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan.
Sementara itu, video berhubung kejadian telah tular di laman sosial Facebook menunjukkan seorang lelaki sedang memegang kemaluan sambil menunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, satu tangkapan telah dibuat ke atas suspek yang juga merupakan seorang duda.
Menurut Shahnaz, lelaki berusia 26 tahun itu telah ditahan kira-kira jam 5.45 petang hasil laporan yang dibuat pengadu.
"Siasatan lanjut akan dilakukan berhubung kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu kelakuan yang menghina atau kurang sopan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!