Dua dicekup ketika punggah arak seludup

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Tindakan dua lelaki yang sedang memunggah kotak dari sebuah lori membongkar kegiatan penyeludupan minuman keras dalam serbuan polis di sebuah gudang di Taman Chi Liung, Pandamaran pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 5 petang berdasarkan risikan yang dijalankan Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin berpangkalan di Pelabuhan Klang.

"Rondaan dijalankan anggota polis telah terserempak dengan dua individu yang sedang memunggah beberapa kotak dari sebuah lori untuk disimpan dalam sebuah gudang.

"Pemeriksaan dijalankan kemudian menemui 317 botol dan 7,560 tin pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai RM269,086," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, kedua lelaki warga tempatan tersebut kemudian ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Kedua-dua suspek berumur lingkungan 25 tahun itu didapati tiada sebarang rekod kesalahan atau jenayah lampau.

"Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Ujar Hoong Fong, siasatan lanjut berkaitan kes tersebut masih dijalankan.

"Orang ramai diminta menyalur maklumat sekiranya mendapati sebarang kegiatan atau aktiviti mencurigakan terutamanya melibatkan penyeludupan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!