[VIDEO] Mekanik jumpa bayi bawah pangkin tepi rumah
KUALA TERENGGANU - Seorang mekanik tidak menyangka menemukan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di bawah pangkin di tepi rumahnya di tingkat bawah Perumahan Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini pada petang Ahad.
Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, berkata, dia mendengar bunyi tangisan bayi sebaik tiba di rumah selepas pulang dari bekerja kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, ketika itu dia ke dapur untuk minum air selepas mengambil anaknya, Nor Aisy Alana, yang berusia sembilan bulan dari rumah ibu mentuanya yang juga berada di perumahan itu.
"Mula-mula saya sangka bunyi tangisan bayi itu datang dari rumah jiran berdekatan, namun hairan sebab bunyi itu terlalu dekat seolah-olah di sebalik pintu dapur rumah.
"Sebaik ke dapur untuk minum air, bunyi tangisan semakin kuat. Saya pun segera jenguk ke pangkin di tepi rumah dan terperanjat apabila melihat seorang bayi berada di bawah pangkin itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.
Menurut Ahmad Fauzi, dia segera memberitahu isterinya, Nor Azlyn Rosli, 28, yang ketika itu berada di rumah ibu mentuanya di tingkat satu di perumahan berkenaan.
Jelasnya, ibu mentuanya segera menelefon pihak berkuasa yang tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, bayi tersebut dianggarkan berusia seminggu berdasarkan keadaan tali pusatnya yang semakin mengering.
"Waktu ditemui bayi itu dalam keadaan baik dengan rambut disikat, namun hanya memakai lampin pakai buang dan terdapat kain batik.
"Mungkin disebabkan bayi itu bergerak kain itu terlondeh sedikit dan ketika saya jumpa badannya tidak berbalut," ujarnya.
Tambah Ahmad Fauzi, bayi tersebut telah dibawa oleh pihak polis ke hospital untuk diberikan rawatan dan siasatan lanjut.
CMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!