Berdosa jika tidak patuhi undang-undang jalan raya
MERAK JALANAN pernah menulis sebelum ini mengenai gelagat penunggang motosikal terutama pekerja e-hailing yang langsung tidak menghiraukan keselamatan jalan raya.
Merak Jalanan seperti rakyat Malaysia yang lain amat menghargai tugas mereka. Malangnya sikap segelintir yang langsung tidak memikirkan keselamatan diri dan orang lain ketika menunggang motosikal kerana mahu mengejar masa dan trip sangat mengecewakan.
Ada yang gemar melanggar lampu isyarat, masuk jalan sehala, ‘mencilok’ sana-sini sehingga melanggar cermin sisi kenderaan orang lain, menunggang terlalu laju dan sebagainya. Bukan saja sakit mata, sakit hati juga melihatnya.
Semua ini berlaku depan mata Merak Jalanan sendiri. Langgar lampu isyarat jangan cakaplah. Agaknya ramai penunggang e-hailing di negara ini yang buta warna. Tak tahu beza warna hijau dengan merah.
Lampu isyarat masih belum bertukar hijau, mereka sudah meluru laju. Akhirnya, ada yang bertembung dengan kenderaan lain.
Kerana tindakan itu, ramai penunggang e-hailing yang menemui ajal di trafic light. Seorang sahabat Merak Jalanan pula tak fasal-fasal kena rempuh oleh seorang penunggang e-hailing yang melawan arus di laluan sehala.
Hukum mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah wajib. Ini bukan Merak Jalanan yang cakap tapi bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Sekiranya pemanduan itu dilakukan secara merbahaya atau tidak mengikut undang-undang jalan raya lalu mengakibatkan kecelakaan kepada diri sendiri, pengguna jalan raya yang lain atau mana-mana infrastruktur awam, maka seseorang itu dianggap berdosa di atas kesalahan tidak mematuhi peraturan dan undang-undang telah ditetapkan.
Peringatan ini bukan untuk penunggang e-hailing saja, malah kepada seluruh pengguna jalan raya di Malaysia!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!