Zii Jia perlu diselamatkan

Laporan Sukan Sinar pada 31 Januari lalu. Gambar kecil: Salleh
Laporan Sukan Sinar pada 31 Januari lalu. Gambar kecil: Salleh
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia disaran untuk mendapatkan khidmat jurulatih dengan segera bagi mengembalikan semula prestasi ke tahap sebenar.

Pakar psikologi, Profesor Dr Salleh Abd Rashid berkata, sekiranya situasi membelenggu pemain nombor empat dunia itu berterusan, dibimbangi tidak hanya memberi kesan kepada dirinya tetapi juga negara.

“Berilmu tanpa guru, sesat. Bermain hanya berdasarkan rasa pada diri tanpa asuhan kemahiran yang betul dan yang diperlukan tidak akan berganjak prestasi.

“Keputusan dalam tiga kejohanan yang disertai jelas membuktikan tiada apa yang perlu diraikan sebaliknya dia perlu diselamatkan segera.

“Sejujurnya peningkatan prestasi dalam setiap kejohanan itu lebih penting sebelum memasuki fasa Sukan Olimpik itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Terdahulu, bekas pemain negara, Datuk Rashid Sidek berkata, Zii Jia memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak untuk dia kembali bangkit selepas mengalami permulaan musim 2023 yang mengecewakan.

Malah, beberapa individu termasuk bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj sebelum ini juga menasihati Zii Jia untuk segera mengambil jurulatih.

Pada masa sama, bekas pemain negara, Roslin Hashim turut menyatakan kesediaannya untuk menjadi jurulatih Zii Jia jika pemain kelahiran Alor Setar itu memerlukan khidmatnya.

Sementara itu, Salleh berkata, bertindak sendiri tanpa asuhan dan bimbingan jurulatih akan mengakibatkan banyak tindakan hanya berdasarkan kepada intuitif atau rasa hati.

“Kekurangan kemahiran itu juga akan menyebabkan pemain hilang punca dan kecewa. Akhirnya ia membawa kepada kecelaruan dan resah yang akan merudumkan prestasi,” jelas beliau.

Salleh juga berpandangan, kini merupakan tempoh masa terbaik untuk Zii Jia mendapatkan khidmat jurulatih sebelum kembali menyahut cabaran di pentas antarabangsa.

“Pesan saya, dapatkan jurulatih. Bukan saja jurulatih fizikal, teknikal dan taktikal tapi lebih kepada seorang jurulatih mental bertauliah yang boleh membentuk kekuatan mental bagi kembali semula ke prestasi sebenar.

“Bukan saya mahu menidakkan bantuan bekas pemain bergelar jurulatih, namun Zii Jia juga perlu mendapatkan khidmat jurulatih yang berpengalaman dalam membimbing aspek daya tahan latihan mental,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!