PATI: Bertindak lebih agresif, hukum si petualang

PATI yang ditahan ketika cuba membolosi sempadan negara pada Khamis.
PATI yang ditahan ketika cuba membolosi sempadan negara pada Khamis.
A
A
A

KETIKA ini sedang ditayangkan sebuah filem bergenre aksi iaitu ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ yang mengetengahkan fungsi dan ‘kerja’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Filem sentuhan Allahyarham Pitt Hanif itu menjadi bualan ramai ekoran aksi yang dipamerkan cukup mendebarkan, malah babak pertarungan antara anggota unit beruniform terbabit dan sekumpulan lanun di perairan sememangnya bukan bahan tontonan umum secara ‘live’.

Kebetulan pula pada Sabtu lalu, terpampang di muka depan akhbar Sinar Harian mengenai kejayaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan yang menahan seramai 67 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring.

Lebih mengejutkan, penempatan itu telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik.

Pelbagai persoalan timbul di benak fikiran, seolah-olah penempatan ini ‘terlindung’ daripada mata penguat kuasa sekali gus gagal dikesan sejak sekian lama.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal turut mendedahkan, sebilangan warga asing di negara ini dilindungi oleh sindiket. Maka tidak hairanlah jika perkampungan PATI itu juga hasil licik si petualang.

Diharapkan agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih agresif membanteras kemasukan PATI selain memberi perhatian terhadap lambakan pekerja warga asing yang masih kekal di negara ini walaupun permit bekerja tamat tempoh.

Tingkatkan pemantauan pegawai imigresen bersama tentera laut dan Maritim Malaysia di kawasan perairan negara serta laluan tikus agar tiada yang terlepas.

Kesan dan heret individu yang didapati melindungi atau menggaji PATI ke muka pengadilan, berikan hukuman lebih berat agar dapat dijadikan teladan kepada orang lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!