Tinggal 506 mangsa banjir Johor di lima PPS

Anggota bomba membantu penduduk di Parit Jayus dan Parit Basri Darat di Yong Peng, Batu Pahat semasa melakukan pemantauan banjir.
Anggota bomba membantu penduduk di Parit Jayus dan Parit Basri Darat di Yong Peng, Batu Pahat semasa melakukan pemantauan banjir.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Keadaan cuaca yang bertambah baik di negeri ini memberi perkembangan positif apabila hanya 420 mangsa banjir masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa berkenaan membabitkan 119 keluarga dari Batu Pahat dan Segamat.

"Jumlah mangsa terus menunjukkan penurunan berbanding seramai 670 mangsa melibatkan 188 keluarga yang ditempatkan di enam PPS direkodkan pada jam 8 pagi semalam.

"Pengurangan banjir berikutan penutupan sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tenaga Setia di Batu Pahat pada jam 4 petang semalam. PPS berkenaan melibatkan mangsa banjir dari Kampung Parit Baru dan Kampung Parit Jayus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, di Batu Pahat masih terdapat 394 mangsa daripada 110 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

Sementara itu, di Segamat pula katanya, terdapat 26 mangsa daripada sembilan keluarga di sebuah PPS.

Dalam perkembangan lain, Azmi memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan, hanya satu jalan yang masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai disebabkan tanah runtuh.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan bacaan paras Sungai Bekok di Batu Pahat merekodkan 18.97 meter (m) iaitu melepasi paras bahaya 18.70m.

"Bacaan Sungai Segamat pula di Segamat Kecil, Segamat kini berada pada paras amaran 36.71m," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!