Peruntukan RM1.3 juta tidak mencukupi - Nanta
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan pemotongan peruntukan pembangunan daripada RM3.8 juta kepada 1.3 juta adalah tidak mencukupi susulan kawasannya berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan keluasannya menyamai negeri Pahang.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, dengan pemotongan tersebut, ia akan memberi cabaran lebih besar kepadanya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan diperlukan oleh rakyat.
“Sebagai ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, saya amat memahami dasar tindakan ini yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.
“Namun, keputusan ini bagaimanapun agak mengejutkan, mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai, terutama di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Nanta menambah, kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak juga berada jauh di pedalaman yang tentunya amat bergantung kepada peruntukan tersebut.
Ujar Menteri Kerja Raya itu, peruntukan sebelum ini banyak membantu penduduk secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung serta pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan kerajaan.
“Peruntukan ini yang disalurkan ke pusat khidmat juga menjadi ‘one-stop centre’ bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera.
“Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar.
“Bukan sahaja golongan B40 dan ke bawah, malah golongan M40 yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi dan bergantung kepada bantuan daripada wakil rakyat juga dapat dibantu melalui peruntukan ini,” jelasnya.
Menurutnya, pengurangan kadar peruntukan itu tentunya akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat.
Atas dasar itu katanya, kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan ini.
“Meskipun saya berasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
“Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!