Lelaki muat naik video berunsur fitnah di TikTok ditahan

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes memuat naik sebuah video berunsur fitnah terhadap anggota polis trafik menerusi akaun TikTok.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisoner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, penarik baja berusia 39 tahun itu ditahan pada Sabtu lepas dan direman hingga Selasa bagi siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Lelaki itu ditahan di rumahnya di Jitra, Kedah dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, klip video berdurasi 35 saat atas pemilik akaun @manbajanaw9438 itu memaparkan tiga anggota trafik sedang melakukan pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran lampu isyarat Simpang Ampat, Perlis.

Katanya, anggota trafik tersebut membuat pemeriksaan dan mengeluarkan empat saman ke atas lori lelaki itu manakala punca kejadian dipercayai lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan terhadapnya.

"Video yang dimuat naik oleh lelaki itu adalah berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terdapat beberapa komen negatif orang ramai berkenaan video tersebut yang boleh menjatuhkan maruah serta imej anggota polis trafik dalam video itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mendatangkan kebencian terhadap pihak berkuasa, khususnya melalui media sosial.

Beliau, berkata tindakan tersebut boleh menyebabkan tersebarnya kenyataan yang tidak berasas sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa.

Katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh penguat kuasa khususnya pasukan PDRM, boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan saluran yang betul. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!